KUALA LUMPUR 20 Sept - AmInvestment Bank Research mendapati aktiviti hiliran syarikat perladangan dilihat mampu menampung kelemahan harga minyak sawit mentah terutama ketika berdepan tempoh mencabar.
Secara dasarnya, pendapatan bagi aktiviti hiliran bergerak seiring dengan trend harga minyak sawit mentah sama ia menurun atau meningkat yang akan memberi kesan kepada segmen tersebut.
Bagaimanapun, penganalisisnya, Gan Huey Ling berkata, ketika harga minyak sawit mentah susut antara 2017 hingga 2019, pendapatan segmen hiliran membabitkan tiga syarikat perladangan terbesar sebaliknya terus meningkat.
"Kami berpendapat, permintaan global bagi oleokimia bagi tempoh itu adalah kukuh, dipacu pertumbuhan dalam industri kosmetik dan penjagaan kesihatan.
"Malah, pendapatan hiliran adalah begitu kukuh sehingga mengatasi keuntungan dalam segmen huluan apabila harga minyak sawit mentah merosot pada 2019," katanya dalam laporan tematik sektor perladangan hari ini.
Laporan itu membandingkan operasi hiliran membabitkan Kuala Lumpur Kepong Bhd. (KLK), IOI Corp. Bhd. dan Sime Darby Plantation Bhd.
Semasa harga minyak sawit mentah merosot, aktiviti pembuatan mengatasi huluan sebagai penyumbang pendapatan terbesar bagi syarikat.
Ketika harga minyak sawit mentah rendah pada 2018 dan 2019, aktiviti hiliran menyumbang 70% daripada keuntungan operasi Sime Darby Plantation bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2019 (FY19).
Sementara itu, pembuatan merangkumi 53% daripada pendapatan sebelum faedah dan cukai (EBIT) KLK dan 55% daripada EBIT IOI Corp. bagi FY19.
Huey Ling berkata, berdasarkan kepada rekod pendapatan sebelum ini, operasi hiliran bagi syarikat perladangan bersepadu didapati mempamerkan prestasi yang lebih baik apabila harga produk minyak sawit meningkat.
"Ini mungkin disebabkan syarikat melepaskan kos bahan mentah yang lebih tinggi kepada pelanggan dalam bentuk harga jualan yang lebih tinggi, justeru, margin hasil dan EBIT berkembang apabila kos bahan mentah meningkat," jelasnya.
Menurutnya, perkara sebaliknya berlaku appabila harga minyak sawit jatuh, akan menjejaskan harga jualan dan permintaan.
Ia akan menyaksikan syarikat hiliran mengurangkan harga jualan bagi mencerminkan kos bahan mentah yang lebih rendah.
"Namun pada masa sama, syarikat pengguna mungkin menangguhkan pembelian mereka dengan menjangkakan harga jualan yang lebih lemah pada masa hadapan," katanya.
Beliau mendapati apabila harga minyak sawit mentah tidak menentu antara 2013 hingga 2015, EBIT hiliran bagi KLK, IOI Corp. dan Sime Darby Plantation menurun sebanyak 32%.
Gabungan margin EBIT bagi ketiga-tiga syarikat perladangan ini susut kepada 2.8% pada 2015 berbanding 4.55 pada 2013.
Bagi tahun ini pula, margin menyusut pada suku pertama tetapi kembali meningkat pada suku kedua 2022, dengan sebahagian besarnya disebabkan dagangan dalam niaga hadapan minyak sawit mentah.
Pendapatan hiliran bagi KLK, IOI Corp dan Sime Darby Plantation susut antara 1% hingga 15% pada suku pertama 2022 berbanding suku keempat 2021 walaupun margin EBIT dikekalkan.
Menurut Huey Ling, ketika tempoh mencabar, permintaan bagi produk oleokimia bernilai tambah tinggi yang dijual kepada industri farmaseutikal adalah lebih berdaya tahan berbanding industri penjagaan diri atau surfactant.
"Namun, pendedahan syarikat bersepadu kepada industri bernilai tambah tinggi untuk oleokimia masih kecil, iaitu kurang 15% daripada jumlah volum jualan," katanya.
Beliau bagaimanapun berkata, dengan harga produk minyak sawit dijangka lemah, ia secara tidak langsung akan menjejaskan margin EBIT dan pendapatan hiliran syarikat perladangan bersepadu.
Katanya, margin EBIT bagi hiliran diunjur mencapai paras normal antara 4% hingga 6% berbanding ketika ini antara 5% hingga 8%.
"Secara dasarnya, pendapatan juga akan menurun apabila harga jualan mulai jatuh. Dengan itu, kami menjangkakan keuntungan bersih KLK, IOI Corp. dan Sime Darby Plantation bagi FY23 akan susut lebih daripada 20%.
"Kemerosotan ini bukan sahaja disebabkan oleh harga minyak sawit mentah tetapi juga pendapatan oleokimia yang lebih lemah.
"Ini kerana segmen hiliran menyumbang kira-kira 20% hingga 30% daripada EBIT kumpulan," jelasnya.
Oleh itu, AmInvestment masih mengekalkan pandangan 'underweight' terhadap sektor perladangan. - DagangNews.com