Kelemahan ringgit harus dilihat dari sudut positif, ia akan pulih tetapi perlukan sedikit waktu – Pakar Ekonomi | DagangNews Skip to main content

Kelemahan ringgit harus dilihat dari sudut positif, ia akan pulih tetapi perlukan sedikit waktu – Pakar Ekonomi

Kita perlu melihat beberapa sudut sebelum membuat satu-satu kesimpulan, kata Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid.
Oleh TENGKU NOOR SHAMSIAH TENGKU ABDULLAH

KUALA LUMPUR 3 Jun  -  Kelemahan nilai ringgit harus dilihat dari segi positifnya kerana matawang tempatan itu dijangka akan pulih cuma perlukan sedikit waktu.

 

Ini berikutan terdapat begitu banyak ketidakpastian disebabkan faktor luaran, kata Ketua Pakar Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid.

 

Katanya, prestasi ringgit yang lemah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS)  lemah akan membantu meningkatkan eksport negara memandangkan harga eksport menjadi murah pada pandangan pembeli di luar negara.

 

“Justeru kita perlu melihat beberapa sudut sebelum membuat satu-satu kesimpulan (terhadap nilai ringgit), katanya kepada DagangNews.com hari ini.

 

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai prestasi ringgit berbanding matawang AS yang hangat diperkatakan sekarang ini yang mana telah melahirkan kebimbangan di kalangan para pelabur.

 

Dr Afzanizam berkata: “Sememangnya pergerakan mata wang yang begitu meruap ini banyak disumbang oleh faktor-faktor luaran seperti suasana kadar faedah di negara maju terutamanya di AS.

 

Di samping itu, faktor perang di Ukraine serta dasar COVID sifar di China banyak memberi tekanan kepada harga komoditi serta rantaian perniagaan.

 

“Kebiasaannya, apabila suasana tidak menentu berlaku, permintaan terhadap mata wang selamat atau safe haven akan menyaksikan peningkatan nilai disebabkan permintaan yang tinggi.

 

“Jadi perkara ini telah menyebabkan kemerosotan nilai ringgit,” jelas beliau.

 

 

Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid
Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid

 

 

Menurut Dr Afzanizam, hakikatnya, Malaysia adalah sebuah negara yang mendapat manfaat sekiranya harga komoditi meningkat.

 

Di samping itu, katanya kadar dasar semalaman atau OPR telah pun dinaikkan kepada 2 peratus dan berkemungkinan akan ada lagi siri kenaikan pada masa akan datang.

 

“Kadar faedah yang tinggi seharusnya akan meningkatkan nilai ringgit disebabkan kadar pulangan yang tinggi terhadap sesuatu pelaburan. 

 

“Selain itu, pihak Bank Negara Malaysia (BNM) mempunyai rizab antarabangsa yang mencukupi bagi menstabilkan mata wang negara,” tegas Dr Afzanizam.

 

Dalam satu kenyataan semalam, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata penganalisis asing kekal yakin terhadap prospek pemulihan nilai ringgit yang akan kembali kukuh dalam masa terdekat.

 

Katanya, ini digambarkan oleh unjuran pertengahan keseluruhan mereka terhadap ringgit berbanding dolar AS pada suku kedua 2022, suku ketiga 2022, suku keempat 2022 dan suku pertama 2023 dengan masing-masing mencatatkan 4.37, 4.35, 4.28 dan 4.27.

 

Menurut Tengku Zafrul lagi, bagi purata keseluruhan, unjuran penganalisis asing bagi ringgit berbanding dolar AS pada suku kedua 2022, suku ketiga 2022, suku keempat 2022 dan suku pertama 2023 masing-masing pada 4.35, 4.37, 4.29 dan 4.25.

 

Beliau juga  berkata penyusutan ringgit buat masa ini disumbangkan oleh faktor sementara termasuk unjuran situasi dasar monetari dunia dan kecairan tunai global yang terus mengetat, menyebabkan kegusaran komuniti pelabur antarabangsa.  - DagangNews.com