Kelembapan ekonomi global berpanjangan diunjur jejas prospek BP Plastics, kata Kenanga Research | DagangNews Skip to main content

Kelembapan ekonomi global berpanjangan diunjur jejas prospek BP Plastics, kata Kenanga Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 22 Nov - Kelembapan ekonomi global berpanjangan diunjur memberi kesan negatif terhadap permintaan bahan pembungkusan BP Plastics Holding Berhad pada 2HFY23.

 

Kenanga Research kekal berhati-hati terhadap permintaan pasaran untuk bahan pembungkusan pada separuh kedua tahun ini walaupun secara tradisinya permintaan akan memuncak.

 

Katanya, ia disebabkan ketidaktentuan yang berlarutan dalam pemulihan ekonomi global.

 

"Kenaikan harga resin medadak selain kekurangan tenaga pekerja juga dibimbangi menjejaskan perkembangan kumpulan itu," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, hasil bagi 9MFY23 kumpulan itu bagaimanapun merosot 12% dari tahun ke tahun disebabkan pengurangan purata harga jualan (ASP) seiring penurunan kos resin dan permintaan lemah bagi produk pembungkusan kesan kelembapan ekonomi global.

 

Untung bersih terasnya menurun sebanyak 5% secara relatifnya lebih kecil, disokong oleh margin yang lebih baik yang timbul daripada campuran produk yang lebih baik dengan bahagian yang lebih besar bagi produk margin yang lebih tinggi seperti filem regangan nano.

 

Firma penyelidikan bagaimanapun menjangkakan kumpulan itu berada pada kedudukan yang baik bagi memanfaatkan permintaan yang semakin meningkat untuk penyelesaian pembungkusan yang mampan.

 

Katanya, selaras dengan komitmennya terhadap kemampanan, syarikat terus mengutamakan inisiatif seperti menghasilkan filem pembungkusan lebih nipis tanpa menjejaskan kualiti dan penggunaan bahan mentah kitar semula.

 

"Kumpulan itu berharap untuk meningkatkan tempahan untuk tawaran premium terbaharunya, terutamanya filem regangan nano dari kedua-dua pasaran Eropah dan Amerikan Syarikat (AS) berikutan penyertaannya dalam pameran perdagangan antarabangsa di Eropah pada Mei 2023.

 

"Kami mengekalkan saranan 'market perform' dengan harga sasaran RM1.23 sesaham," katanya.- DagangNews.com