Kelington raih kontrak bernilai RM85 juta di Singapura | DagangNews Skip to main content

Kelington raih kontrak bernilai RM85 juta di Singapura

 

 

KUALA LUMPUR 6 Dis -  Kelington Group Bhd. menerusi anak syarikat milik penuhnya, Kelington Engineering (S) Pte Ltd meraih kontrak bernilai RM85 juta bagi menyediakan penyelesaian Ultra High Purity untuk fabrikasi wafer semikonduktor di Singapura. 

 

Kontrak itu dianugerahkan oleh peneraju global dalam kejuruteraan dan pengurusan projek kemudahan teknologi tinggi yang telah dilantik sebagai kontraktor pelanggan akhir.

 

Pelanggan akhir ialah syarikat semikonduktor yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) yang mengeluarkan cip memori, komponen utama yang digunakan dalam teknologi peranti. 

 

Di bawah kontrak itu, Kelington akan menjalankan kerja-kerja mereka bentuk, membekalkan, menghantar, memasang dan menjalankan ujian kerja-kerja pengedaran gas bagi fabrikasi wafer semikonduktor di Singapura. 

 

Kerja-kerja tersebut akan bermula Disember 2021 dan dijangka selesai menjelang Ogos 2023.

 

Dalam kenyataan hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KelingTon, Ir Raymond Gan berkata, kontrak tersebut akan mengukuhkan lagi kedudukan kumpulan dalam industri semikonduktor. 

 

Katanya, dengan memperoleh lagi kontrak Singapura ini membuktikan keupayaan Kelington untuk menyampaikan output berkualiti tinggi tepat pada masanya.  

 

"Melangkah ke hadapan, kami kekal positif dengan prospek kumpulan, disokong oleh penambahan nilai kontrak sepanjang tahun ini ekoran kekurangan bekalan semikonduktor. 

 

"Memandangkan pemain semikonduktor di seluruh dunia sedang berkembang secara agresif bagi mengatasi masalah kekurangan bekalan ini, kami menerima banyak jemputan untuk menyertai tender berkaitan. 

 

"Kami amat gembira dengan usaha ini berhasil apabila tempahan baharu meningkat 2 kali ganda berbanding tahun sebelumnya," katanya. 

 

Dengan perolehan baharu ini, nilai kontrak mencecah hampir RM1.003 bilion tahun ini, sekali gus meningkatkan nilai kontrak kumpulan kepada RM1.044 bilion. - DagangNews.com