Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 5 Okt. - Kelington Group Berhad menerusi anak syarikat milik sepenuhnya, Puritec Technologies (S) Pte Ltd sekali lagi meraih kontrak Ultra High Purity (UHP) bernilai RM40 juta.
Ini merupakan kontrak UHP ketiga dimenangi Kelington daripada peneraju global dalam bidang kejuruteraan dan pengurusan projek kemudahan teknologi tinggi, yang melibatkan pengeluar semikonduktor terkemuka di dunia.
Di bawah kontrak itu, Kelington akan menjalankan pembekalan dan pemasangan rangkaian saluran pengedaran ekzos.
Menurut kumpulan, kilang itu dijangka menjadi kemudahan pembuatan semikonduktor paling canggih di Singapura dan penyelesaian bersepadunya akan memenuhi permintaan segmen automotif, pergerakan 5G dan peranti keselamatan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kelington, Ir. Raymond Gan berkata bahawa pihaknya berbangga mendapat kontrak ketiga dalam jangka masa tiga bulan daripada pelanggan yang sama di Singapura.
“Ketiga-tiga kontrak ini membawa nilai keseluruhan sekitar RM134 juta. Keyakinan yang ditunjukkan oleh peneraju industri kepada kami dengan projek yang sama di mana memerlukan keupayaan teknikal tinggi telah meningkatkan kedudukan korporat kami di dalam industri.
“Oleh itu, ini meletakkan kami pada kedudukan yang lebih kukuh untuk membida lebih banyak projek daripada pelanggan di seluruh dunia,” katanya dalam satu kenyataan.
Baca : Kelington raih satu lagi kontrak UHP bernilai RM49 juta di Singapura
Projek itu dijangka bermula pada pertengahan Oktober sehingga Disember 2022.
Menerusi kemenangan kontrak itu, pesanan baharu Kelington setakat ini mencecah kira-kira RM841 juta.
Baca : Kelington berpotensi 'kaut' lebih banyak projek semikonduktor - Penganalisis
Termasuk projek yang dibawa masuk sejak tahun lalu, baki pesanan buku kumpulan ketika ini berjumlah RM979 juta. - DagangNews.com