Keluarga Malaysia perlu main peranan tangani ancaman dan jenayah siber - PM | DagangNews Skip to main content

Keluarga Malaysia perlu main peranan tangani ancaman dan jenayah siber - PM

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 8 Feb - Keluarga Malaysia perlu memainkan peranan untuk membentuk sahsiah dan kawal kendiri bagi menyemai serta mengukuhkan kesepaduan komuniti dalam ekosistem siber agar ancaman dan jenayah siber dapat ditangani.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, langkah ini penting bagi mewujudkan persekitaran siber yang positif dan sejahtera.

 

Beliau berkata, ketika negara dilanda pandemik COVID-19, kebanyakkan ahli Keluarga Malaysia telah beralih ke arah penggunaan teknologi digital dalam setiap aspek kehidupan mereka.

 

"Keadaan ini menyebabkan berlakunya transformasi pada pola komunikasi dan sosial, norma baharu. Namun, situasi ini telah menyebabkan kebanyakan kita alpa dalam untuk menjaga adab dan etika walaupun dalam dunia siber.

 

"Teknologi digital banyak membantu serta melancarkan aktiviti kita, tetapi penyalahgunaan teknologi masih berlaku termasuklah dalam penggunaan internet dan media sosial oleh mereka yang tidak bertanggungjawab, sehingga muncul pelbagai jenis ancaman serta jenayah siber," katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

 

Ismail Sabri berkata, sempena sambutan Hari Keselamatan Internet 2022 Edisi Malaysia yang bertemakan K.I.T.A Siber, beliau menyeru kepada Keluarga Malaysia supaya terus memupuk sikap kebertanggungjawaban ke atas diri sendiri dan orang lain dengan mengamalkan kaedah komunikasi, mengambil kira inklusif dan tanggungjawab di samping meningkatkan keakraban bagi membentuk komuniti digital yang harmoni.

 

 

pm
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

 

 

"Selamat Hari Keselamatan Internet 2022. Sentiasa bijak, sentiasa selamat. Bersama-sama ke arah kesejahteraan siber," katanya. - DagangNews.com