Kelulusan Belanjawan 2021 lancarkan usaha pemulihan ekonomi Malaysia | DagangNews Skip to main content

Kelulusan Belanjawan 2021 lancarkan usaha pemulihan ekonomi Malaysia

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 27 Nov. - Selepas pembentangan Belanjawan 2021 pada 6 November lalu, kerajaan menerima kritikan pelbagai pihak termasuk dalam kalangan pembangkang yang tidak berpuas hati. 

 

Namun, setelah dibahaskan berminggu-minggu di Dewan Rakyat, Rang Undang-undang Perbekalan 2021 (Belanjawan 2021) diluluskan sebulat suara semalam walaupun terdapat 13 Ahli Parlimen yang tidak bersetuju. Ia memerlukan 15 sokongan Ahli Perlimen untuk Belanjawan 2021 diundi secara belah bahagi.

 

Perlu diakui banyak cabaran dalam belanjawan kali ini, tambahan pula negara berdepan dengan pandemik COVID-19, krisis global yang tidak pernah terjadi sebelum ini. 

 

Dalam masa sama, negara turut berdepan dengan konflik politik dengan kemuncaknya apabila darurat gagal diisytiharkan sekitar Oktober lalu, desakan dibuat supaya Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan. 

 

Penganalisis melihat 'tragedi Oktober' itu memberi kesan kepada pelabur asing yang menyaksikan indeks FBM KLCI jatuh 38 mata atau 2.5% bulan ke bulan untuk ditutup pada 1,467 mata. 

 

Ini menjadikan dalam tempoh 10 bulan tahun ini, indeks mengalami kerugian 7.7%, menurut nota kajian CGS-CIMB bertarikh 3 November lalu. 

 

Kemelut politik itu secara tidak langsung boleh menyukarkan kelulusan Belanjawan 2021 sekiranya tidak memperoleh undi dalam kalangan Ahli Parlimen.

 

Belanjawan 2021 secara dasarnya amat penting kepada rakyat kerana ia membolehkan kerajaan menangani penularan wabak itu, selain memastikan kelangsungan operasi sedia ada tidak terjejas. 

 

Sehubungan itu, apabila ia diluluskan semalam, penganalisis melihat ia satu keyakinan terhadap kerajaan pimpinan Muhyiddin, setelah beliau mengetuai pentadbiran kerajaan Mac lalu.  

 

Penganalisis CGS-CIMB, Michelle Chia berkata, belanjawan ini telah melalui rintangan yang pertama setelah memperoleh sebulat suara di peringkat dasar. 

 

"Ini dilihat sebagai undi percaya kepada kerajaan selepas pembangkang dan bahagian Muafakat Nasional mengancam untuk menolak bajet ini dalam beberapa minggu menjelang pengundian melainkan penambahbaikan dibuat," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Beliau berkata, antara penambahbaikan paling utama termasuklah kelonggaran yang diberikan kepada ahli yang terjejas untuk mengeluarkan Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja sehingga RM10,000 berbanding RM9,000 sebelumnya. 

 

"Malah, ini akan memberi manfaat kepada 8 juta ahli berbanding 2 juta sebelum ini. Dianggarkan pengeluaran awal i-Sinar ini dianggarkan RM14 bilion," katanya. 

 

Jelasnya, walaupun tiada perubahan dalam moratorium tetapi kerajaan memberi lanjutan automatik kepada B40 dan peniaga kecil. 

 

Menurut Michelle, Parlimen akan mula membahaskan belanjawan ini di peringkat jawatankuasa pada Isnin ini di mana peruntukan untuk kementerian dan agensi akan diteliti manakala pungutan suara terakhir akan dilakukan 15 Disember ini. 

 

"Dengan mengambil kira unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) akan pulih pada 7.5% tahun hadapan, kami menjangkakan Belanjawan 2021 ini akan diluluskan," katanya.  

 

Kerjasama semua pihak sebenarnya amat penting dalam membantu negara mengekang pandemik COVID-19 yang mana Malaysia berdepan dengan gelombang ketiga. 

 

Dalam laporan prospek global UOB yang dikeluarkan hari ini, menunjukkan China antara negara yang cepat bangkit daripada pemulihan ekonomi sejak suku kedua sedangkan negara-negara lain di seluruh dunia masih bergelut dengan perintah sekatan bagi mengekang wabak itu. 

 

"Lagi cepat kerajaan bertindak mengawal wabak ini, lagi cepat aktiviti akan kembali normal. Ekonomi yang boleh membendung wabak ini, mempunyai peluang yang lebih baik untuk kembali normal dengan cepat," katanya dalam laporan itu.  

 

Selain itu, Vietnam juga menjadi contoh terbaik apabila dapat mengawal wabak itu di peringkat awal walaupun usaha itu digagalkan ketika serangan jangkitan tempatan baharu di Danang, awal Ogos lalu. 

 

"Kini, Vietnam dan China masing-masing merekodkan pertumbuhan KDNK yang positif pada suku kedua, berbanding negara-negara lain yang masih bergelut. 

 

"Rantau ASEAN pula secara keseluruhan, mengalami penurunan 10.4% tahun ke tahun pada suku kedua," katanya. 

 

Pada suku kedua, ekonomi Malaysia mengalami penguncupan sehingga 17.1% berikutan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), paras terendah sejak suku ke-4 1998 (-11.2%). 

 

Bagaimanapun, pada suku ketiga, ekonomi negara merekodkan penguncupan kecil 2.7% yang meletakkan Malaysia di landasan pertumbuhan. 

 

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata, lonjakan semula pertumbuhan ekonomi negara tahun hadapan dijangka kekal dalam landasan pemulihan meskipun terdapat peningkatan semula kes COVID-19 yang memerlukan pelaksanaan langkah membendungnya. 

 

Tahun ini, BNM mengekalkan prospek prestasi ekonomi antara -5.5 hingga -3.5, namun pertumbuhan dijangka pada angka paling rendah dalam julat berkenaan. - DagangNews.com