Kelulusan pembiayaan PKS sepantas 3 minit | DagangNews Skip to main content

Kelulusan pembiayaan PKS sepantas 3 minit

MEDAC

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH

[email protected]

KUALA LUMPUR 17 Ogos - Usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tidak perlu mengambil masa yang terlalu lama untuk mendapatkan kelulusan permohonan pembiayaan, sebaliknya boleh mendapatkan kelulusan tersebut sepantas tiga minit.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, kelebihan tersebut disediakan melalui kerjasama baharu yang akan dijalankan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) bersama Axiata Digital.

"Ada sesetangah daripada kita (usahawan) apabila disebabkan oleh COVID-19, mereka terkesan dan berhadapan dengan masalah bank seperti tidak dapat bayar hutang dan sebagainya.

Mas Ermieyati Samsudin
Mas Ermieyati Samsudin

 

"Minggu depan kita akan lancarkan program bersama syarikat Axiata Digital. Melalui program ini, mereka yang berdepan dengan masalah tidak dapat pembiayaan dengan bank atau 'unbankble' akan dapat kelulusan pinjaman hanya dalam masa tiga minit dan 48 jam duit akan dimasukkan," jelasnya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Jazlan Yaakub (BN-Machang) di Dewan Rakyat semalam.

Kerjasama tersebut menyediakan pembiayaan bernilai RM1,000 hingga RM10,000 ke atas dan dipermudahkan dengan penyediaan dokumen yang minimum.

Dalam soalan tambahan tersebut, Jazlan meminta penjelasan sama ada wujudnya bantuan dalam bentuk pakej-pakej baharu kepada usahawan PKS susulan perkembangan wabak yang dilihat akan berlanjutan.

Jazlan Yaakub
Jazlan Yaakub


Selain itu juga, soalan berkaitan lanjutan moratorium turut diajukan oleh Jazlan sama ada perkara tersebut akan dilanjutkan atau sebaliknya ekoran daripada pandemik COVID-19.

Menjawab persoalan berkaitan moratorium itu, Mas Ermieyati memberitahu, bukan hanya moratorium yang harus diberi perhatian, sebaliknya memberi peluang kepada kemudahan pembiayaan.

"Kita melihat kesan selepas pandemik yang cukup penting sekali dan harus diberi perhatian.

"Untuk pembiayaan yang harus diberi perhatian bukan hanya moratorium, tetapi kami juga memberi peluang kemudahan kepada alternatif pembiayaan," jelasnya lagi. - DagangNews.com