IPOH 21 Sept - Perancangan bijak kerajaan Perak memacu ekonomi negeri termasuk meneroka sumber baharu memberi pulangan besar kepada rakyat sebagai kelompok akhir dalam kemajuan tersebut.
Sebab itu apabila Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) dibuka sepenuhnya, ia bakal melonjakkan kemasukan pelaburan luar kerana tersedianya pelbagai infrastruktur.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Kerajaan Dewan Perniagaan dan Industri Cina negeri Perak, Ir. Ong Kean Seng berkata, Perak mempunyai potensi ekonomi yang besar selain memiliki sumber alam.
Menurut beliau, Pelabuhan Lumut misalnya memiliki potensi yang sama dengan Pelabuhan Klang apabila dieksploitasi sepenuhnya.
"Justeru, Perak perlu menyediakan sumber tenaga kerja yang berdaya saing sebagai persediaan untuk menerima kemasukan pelabur luar atau pelabur tempatan.
"Sebagai contoh, sebuah syarikat gergasi membuat pelaburan di daerah Manjung pasti memerlukan tenaga kerja tempatan yang mahir bekerja di syarikat tersebut.
ARTIKEL BERKAITAN: Perak kini destinasi pelaburan berimpak tinggi - penganalisis ekonomi
"Dengan penawaran gaji yang setimpal ini sudah pasti memberi jaminan ekonomi jangka panjang seterusnya menyumbang pada kemajuan daerah tersebut," ujarnya kepada DagangNews.
Mengulas lanjut kata Kean Seng, pada masa sama prosedur-prosedur kerajaan juga seharusnya lebih mesra dan cepat supaya memudahkan proses kemasukan pelabur luar.
Katanya, aspek itu perlu diberikan perhatian supaya prosedur yang mesra ini memberi keyakinan untuk syarikat luar datang melabur.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Usahawan Bersatu Ipoh Perak, Sharul Rahman berharap agar kerajaan negeri menetapkan sebahagian daripada kek ekonomi ini turut dirasai syarikat-syarikat tempatan.
Katanya, selain untuk menarik kemasukan pelabur luar, aliran ekonomi ini nanti akan menyumbang kembali kepada pelbagai lapisan rakyat menerusi perniagaan melalui kuasa membeli.
"Pelaburan yang dibuat itu semua bagus yang mana sudah pasti memberi peluang pekerjaan dan meningkatkan kuasa membeli.
"Ini seterusnya akan memberi kesan ekonomi kepada peniaga perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang juga merupakan kelompok peniaga terbesar di Perak," ujarnya.
Kata Sharul, pulangan hasil pelaburan yang diterima kerajaan negeri ini juga boleh dikembalikan dengan membantu melahirkan lebih ramai usahawan baharu.
Misalnya, dengan menganjurkan aktiviti kursus dan keusahawanan kepada usahawan baharu supaya boleh menaik taraf ekonomi keluarga dan negeri. - DagangNews.com