Perak kini destinasi pelaburan berimpak tinggi – penganalisis ekonomi | DagangNews Skip to main content

Perak kini destinasi pelaburan berimpak tinggi – penganalisis ekonomi

oleh JOHARDY IBRAHIM

PARA pelabur tempatan dan asing kini jelas meletakkan Perak sebagai satu destinasi pelaburan yang berpotensi tinggi didorong oleh projek-projek berimpak tinggi yang sedang dan akan dilaksana di negeri itu, kata penganalisis ekonomi.

 

Paling menarik perhatian, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) mengumumkan Perak merekodkan pelaburan RM7.1 bilion pada suku pertama 2023 – peningkatan 550% berbanding tempoh sama pada 2022.

 

“Rekod itu cukup memberangsangkan!,” kata Wan Mohd Farid Wan Zakaria, Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Universiti Teknologi Mara (UiTM).

 

“Ini kerana sekian lama Perak `tenggelam’ oleh dua kuasa industri Selangor dan Pulau Pinang, kini negeri Seladang muncul antara empat negeri di Malaysia yang mencatat pelaburan tinggi.


 

Wan Mohd Farid Wan Zakaria
        Wan Mohd Farid Wan Zakaria

 


“Penggalak pelaburan-pelaburan ini adalah kerana pelbagai faktor, terutama keberkesanan perancangan dan dasar ekonomi kerajaan negeri Perak yang efisien dalam menyusun serta menyediakan prasarana yang dimahukan oleh pelabur.

 

“Pelaksanaan beberapa projek berimpak tinggi di negeri itu akan menjadi pemacu kepada pertumbuhan ekonomi Perak dalam tempoh 10 hingga 20 tahun akan datang,” kata beliau.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Kemajuan ekonomi Perak beri pulangan besar kepada rakyat cipta peluang kerja dan perniagaan

 

“Bila diteliti lebih dekat, penyusunan yang saya maksudkan meliputi jalinan lebuh raya baharu iaitu Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) dan menaik taraf sistem pelabuhan menerusi projek Bandar Perindustrian Maritim Lumut (LuMIC) adalah kunci utama kepada lembaga pengarah syarikat untuk memutuskan pelaburan di Perak.


 

lumut

 

lumut

 

Bandar Perindustrian Maritim Lumut (LuMIC)
Pelabuhan Lumut yang akan dibangunkan menjadi Bandar Perindustrian Maritim Lumut (LuMIC)

 


Wan Mohd Farid berkata, paling ketara pelan pembangunan ekonomi Perak tidak tertumpu di selatan negeri itu tetapi meliputi seluruh negeri iaitu kawasan tengah dan utara bersempadan dengan Pulau Pinang.

 

Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) contohnya, berakhir di Taiping memastikan manfaat lebuh raya tersebut dinikmati hingga ke utara Perak.

 

Beliau juga menarik perhatian strategi bistari kerajaan negeri Perak membangunkan kawasan utara khususnya di Bagai Serai dan Parit Buntar sebagai kawasan industri baru.


 

wce
Persimpangan Beruas, Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE).

 


“Strategi ini saya katakan bistari kerana Perak menyediakan pilihan kepada syarikat-syarikat multinasional di Pulau Pinang tetapi tidak cukup tanah, kini boleh meluaskan operasi di Perak,’’ katanya.

 

Perkembangan tersebut juga disokong dengan siapnya Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) melibatkan kawasan Taiping Selatan yang dilihat sebagai pelengkap kepada pengukuhan aspek jaringan logistik bagi jajaran ekonomi di Pantai Barat Semenanjung.

 

“Usaha Kerajaan negeri untuk pembinaan lebuh raya baru termasuk Lebuh Raya West Ipoh Span Expressway (WISE) yang menghubungkan Gopeng ke Kuala Kangsar juga mampu memperkukuhkan reputasi Perak sebagai hub pelaburan masa hadapan,’’ ujar Wan Mohd Farid.

 

Daripada segi teknologi tinggi, Tanjung Malim yang selama ini dikenali dengan Proton City, bakal menerima pelaburan besar RM40 bilion daripada rakan kongsi Proton iaitu Geely bagi tempoh 10 tahun.


 

protoncity
Kilang pembuatan kereta Proton di Proton City, Tanjung Malim di Perak

 


Ia sejajar dengan perancangan Kerajaan Negeri Perak bagi membangunkan kawasan Proton City di Tanjung Malim sebagai Lembah Automatif Berteknologi Tinggi (AHTV).

 

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad sebelum ini mengumumkan usahasama Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) dengan pengendali pelabuhan terkemuka, Port of Antwerp-Bruges International (PoABI) untuk membangunkan Bandar Perindustrian Maritim Lumut (LuMIC) di Manjung dengan nilai pelaburan mencecah RM72 billion dalam tempoh 25 tahun.

 

Inisiatif Perak membuka kawasan perindustrian berteknologi tinggi, Silver Valley Technology Park (SVTP) mula menampakkan kejayaan susulan kejayaan menarik pelaburan RM100 juta oleh syarikat Jinjing Silicon Technology bagi industri pemprosesan bahan mineral berasaskan kuarza dan silika.


 

Silver Valley Technology Park
Peta Silver Valley Technology Park di mukim Hulu Kinta.

 


Perlombongan REE

“Kejayaan Perak melaksanakan projek perintis perlombongan lantanid di kawasan Hulu Perak membayangkan keupayaan dan kesungguhan negeri itu dalam meneroka sumber-sumber baharu bagi memperkukuhkan kedudukan ekonominya,’’ tambah Wan Mohd Farid.

 

Satu komoditi baharu yang menarik perhatian ialah unsur nadir bumi lantanid (Rare Earth Element) yang dilombong di Mukim Kenering, Hulu Perak.


 

ree
Lombong REE Latanid di Hulu Perak.

 


Perak adalah satu-satunya negeri ketika ini yang memperoleh lesen melombong REE yang menyaksikan sebanyak 296.2 tan metrik telah dieksport dan sebanyak RM1.66 juta dalam bentuk royalti telah diterima kerajaan negeri pada Mei 2023. - DagangNews.com