MERREPAK OLEH JOHARDY IBRAHIM
PADA 1997, secara puratanya wartawan termasuk saya dihantar dua kali sebulan ke tapak pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur baharu, terletak 70km dari ibu negara.
Dua kali sebulan? Betul.
Ini kerana semua menteri kabinet yang berkaitan projek KLIA diwajibkan meninjau perkembangan pembinaan oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Yang wajib tiap bulan ketika itu ialah Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S. Samy Vellu; Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Lim Liong Sik; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Daripada mereka bertiga ini, paling tidak larat kami buat liputan ialah Datuk Seri Anwar. Beliau akan meninjau dari bangunan utama ke landasan, berjalan kaki. Masalahnya beliau berjalan laju. Terlalu laju.
Setelah beberapa kali `berlumba marathon’, kami tampil dengan idea bernas. Minta jurukamera sahaja yang ikut. Wartawan tunggu di kawasan yang dijangka Anwar akan buat sidang media.
KLIA dibuka secara rasmi pada Jun 1998. Rasa bangga ada. Rasa terharu ada sebab daripada awal pembinaan KLIA menerusi kerja liputan menteri-menteri, kami antara `orang luar’ yang dapat melihat perkembangan bulan ke bulan projek KLIA sehingga siap dan kemudiannya guna sendiri untuk menaiki pesawat.
Bila dihitung, sudah 26 tahun KLIA. Hampir tiga dekad. Bila direnung satu-satu masalah yang melanda KLIA, faktor usia memang besar.
Masalah paling menikam sukma ialah Aerotrain yang menghubungkan Terminal 1 dengan Terminal Antarabangsa.
Kerosakan Aerotrain ini sudah berlarutan selama 10 tahun bermula 2014! Masalah ini amat memalukan kerana pelawat antarabangsa mengungkit pengalaman buruk mereka setibanya di pintu masuk ke Malaysia ini.
MAHB telah menekankan dalam Laporan Tahunannya bahawa ia sedang mengusahakan penggantian Aerotrain setakat ini 2017 selepas beberapa kegagalan perkhidmatan.
Bagaimanapun, kontrak untuk projek itu hanya diberikan pada bulan Disember 2021 dan perkhidmatan itu telah digantung sepenuhnya sejak Mac 2023.
Dan selama 10 tahun ini jugalah, peneraju Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) silih berganti tetapi masih juga belum siap-siap walaupun sasaran asal ialah tahun 2024. Tarikh terbaharu ditetapkan oleh kerajaan ialah 31 Januari 2025. Harap-harap berjayalah.
Sepanjang 10 tahun ini juga, KLIA telah kehilangan penumpang dan bahagian pasaran (20% hingga 16%), gagal memanfaatkan pertumbuhan ASEAN.
Dalam konteks lapangan terbang, perbincangan kita tidak terhad kepada KLIA semata-mata tetapi keseluruhan lapangan terbang di bawah kendalian MAHB.
Hakikatnya MAHB mengendalikan 39 lapangan terbang di seluruh negara dan telah lama bergelut dengan ketidakcekapan operasi dan prestasi yang kurang memberangsangkan.
KLIA, yang pernah menjadi antara lima lapangan terbang terbaik di dunia, telah menyaksikan kedudukan Skytraxnya menjunam ke kedudukan ke-71 disebabkan oleh isu-isu daripada sistem aerotrain yang rosak hingga kemerosotan pengalaman penumpang.
Apa yang nyata, pelaburan yang besar diperlukan untuk membaiki lapangan terbang MAHB agar dapat setanding dengan pesaing.
Namun MAHB berdepan persaingan sengit. Lapangan terbang saingan di rantau ini merancang RM355 bilion bagi projek pembesaran dalam 10 tahun akan datang.
Apakah MAHB ada dana untuk berbuat demikian, atau terus berharap kepada kerajaan untuk menampung kos pembesaran?
Jawapannya ada tetapi rumit.
Ini kerana kos pembesaran terpaksa mengambil kira juga kos penyenggaraan, pembaikan, menyiapkan projek tertangguh dan sebagainya.
MAHB dianggarkan memerlukan kira-kira RM10 bilion untuk tujuan pembesaran dalam tempoh lima tahun akan datang.
Kementerian Pengangkutan memberitahu Parlimen pada 11 Disember lalu, bahawa KLIA akan mendapat terminal baharu dan peningkatan kapasiti bagi menampung jumlah penumpang yang semakin meningkat.
Antara cadangan untuk pembesaran jangka panjang ialah projek naik taraf berperingkat untuk kedua-dua Terminal 1 dan Terminal 2.
Ini akan menyaksikan kapasiti Terminal 1 hampir dua kali ganda daripada 30 juta penumpang setahun (mppa) kepada 59 mppa manakala kapasiti Terminal 2 akan meningkat daripada 45 mppa kepada 67 mppa.
MAHB juga sedang mempertimbangkan pembangunan landasan keempat dan Terminal 3 baharu pada masa hadapan, kata kementerian.
Jadi, siapa akan tanggung segala kos ini?
Cadangan pengambilalihan MAHB oleh sebuah konsortium Gateway Development Alliances (GDA) yang diketuai oleh Khazanah Nasional dan KWSP, bersama rakan kongsi seperti Abu Dhabi Investment Authority dan Global Infrastructure Partners, bertujuan untuk menangani cabaran berterusan ini.
Konsortium itu telah komited untuk pelaburan besar dalam peningkatan infrastruktur, perkhidmatan penumpang, dan ketersambungan syarikat penerbangan untuk meletakkan MAHB untuk pertumbuhan jangka panjang.
Penglibatan sektor swasta sedemikian menawarkan Malaysia peluang untuk membuka modal dan kepakaran yang boleh membantu memulihkan kedudukan KLIA sebagai hab serantau.
Beberapa pengkritik mendakwa pelabur asing seperti BlackRock, yang mempunyai kepentingan dalam GIP, mengutamakan keuntungan berbanding kepentingan awam.
Bagaimanapun, dengan MAHB memerlukan berbilion ringgit untuk menangani kekurangan pelaburan selama bertahun-tahun, perkongsian dengan entiti yang membawa kekuatan kewangan dan kepakaran global adalah penting.
Ia juga telah dihujahkan bahawa harga tawaran RM11 sesaham merendahkan nilai MAHB, dengan dakwaan bahawa nilainya sepatutnya lebih hampir kepada RM16.
Namun, harga tawaran RM11 itu mewakili premium sebanyak 49.5% tahun setakat ini (YTD) berbanding harga saham penutup MAHB pada 29 Disember 2023 sebanyak RM7.36. Ini berbanding dengan prestasi 10.0% YTD4 daripada indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (harga tawaran premium ialah 5x prestasi FTSE Bursa Malaysia KLCI);
Ia juga mewakili gandaan EV/EBITDA Terlaras sebanyak 13.9x dan nisbah harga kepada pendapatan 37.7x, berdasarkan pada penyata kewangan disatukan teraudit terkini MAHB.
Harga tersebut adalah lebih tinggi daripada mana-mana harga yang pernah didagangkan oleh MAHB.
Tawaran itu juga dipandang baik oleh kesemua 14 penganalisis penyelidikan ekuiti berlesen yang kini meliputi MAHB (tidak termasuk HLIB dan UBS), yang masing-masing mempunyai harga sasaran yang sama ada lebih rendah daripada atau sama dengan RM11, dan kebanyakannya juga secara jelas mengesyorkan agar para pemegang saham menerima tawaran tersebut.
Konsortium jejaskan pemilikan aset negara?
Tidak mungkin kerana dari awal-awal lagi pemilikan asing dihadkan pada 30%. Malaysia mengekalkan kawalan ketara ke atas hala tuju strategik MAHB.
Selain itu, perjanjian boleh disusun untuk memastikan pekerjaan dan penyertaan tempatan, melindungi kepentingan rakyat Malaysia biasa.
Kerajaan telah menegaskan bahawa operasi MAHB akan kekal di bawah pengawasan kawal selia untuk menjamin akses yang saksama dan kemampuan untuk syarikat penerbangan domestik dan perkhidmatan udara luar bandar.
Ketelusan dan pematuhan ketat kepada perjanjian konsesi akan memastikan peningkatan ini memberi manfaat kepada semua rakyat Malaysia, bukan hanya pemegang saham.
Ada pengkritik berhujah konsortium seumpamanya hendaklah dikhususkan kepada syarikat tempatan sahaja. Cuba imbau sejarah Proton.
Asalnya Proton diberanakkan sebagai projek kerajaan dengan matlamat menyediakan kereta mampu dimiliki oleh rakyat. Tidak kisahlah pada badan berlogo Proton, enjin berlogo Mitsubishi.
Proton menjadi kereta terlaris hingga memiliki tunai RM4 bilion tetapi liberalisasi perdagangan merubah keadaan bila kereta murah dari Korea dan China mula membanjiri pasaran.
Selain itu faktor kelulusan diberikan kepada Daihatsu diberi status kereta nasional juga, turut menjejaskan jualan Proton. Kerajaan mengambil keputusan melepaskan ekuiti kawalan di dalam Proton kepada konglomerat tempatan.
Faktanya, konglomerat itu tidak mampu buat sendirian. Maka dijual lagi separuh saham syarikat kepada entiti China iaitu Geely yang menjanjikan model-model sedia adanya yang boleh ditukar label kepada jenama Proton dengan mudah.
Kedua-dua industri automotif dan penerbangan adalah industri memerlukan pelaburan yang maha besar. Mahu tidak mahu memerlukan suntikan pelabur asing.
Memanglah ada suara merungut dengan penjualan ekuiti Proton maka hilanglah aset negara. Tidakkah sama dengan rungutan terhadap MAHB sekarang?
Tetapi alkisah Proton dengan Geely telah menampakkan kemajuan baik dari segi angka jualan tetapi paling penting, prestij jenama. Tiada lagi kata sinis `tingkap Proton sudah turun, tidak naik naik’.
Suntikan pelaburan konsortium ke dalam MAHB boleh menikmati pengalaman positif serupa Proton. - DagangNews.com
Johardy Ibrahim adalah Editor DagangNews.com yang pernah berkhidmat di Utusan Malaysia, Bernama, TVS dan The People's Mirror dalam kerjaya lebih 32 tahun sebagai wartawan. Merrepak adalah kolum pojok beliau - pertama kali diperkenalkan di Mingguan Malaysia pada 2009 yang menyentuh apa sahaja isu mencuit jiwa minda seminggu ini atau yang menyebabkannya mendengar lagu The Winner Takes It All – Mamma Mia berulang-ulang kali.