Kembalikan GST berbanding laksana cukai barang bernilai tinggi – Tomei | DagangNews Skip to main content

Kembalikan GST berbanding laksana cukai barang bernilai tinggi – Tomei

KUALA LUMPUR 12 Jan - Pengarah Urusan Tomei Consolidated Bhd, Datuk Ng Yih Pyng menggesa kerajaan mempertimbangkan semula keputusannya untuk melaksanakan cukai barang bernilai tinggi pada kadar 5% hingga 10% mulai 1 Mei 2024.

 

"Kami belum memperoleh maklumat daripada kerajaan berhubung ambang atau butirannya. Saya masih berharap kerajaan mempertimbangkan untuk tidak melaksanakan cukai itu.

 

“Terdapat banyak kesan negatif. Dengan [liberalisasi] visa [untuk China dan India], kami menjangkakan lebih banyak ketibaan pelancong mulai tahun ini dan seterusnya. Dan barang kemas akan menarik minat mereka,” katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran Jelajah Promo Tahun Baharu Cina Tomei 2024, lapor The Edge.

 

Meskipun kerajaan berhasrat meluaskan asas cukainya, beliau berkata komuniti perniagaan masih percaya bahawa cukai barangan dan perkhidmatan (GST) lebih berkesan.

 

 

Ng Yih Pyng
Ng Yih Pyng

 

 

Tahun lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata cukai baharu itu akan dikenakan kepada barangan bernilai tinggi, seperti barang kemas dan jam tangan yang melebihi ambang harga tertentu.

 

Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan pula berkata, cukai itu tidak akan dikenakan ke atas pelancong bagi mempromosikan pelancongan masuk.

 

Sehingga November 2023, Kementerian Kewangan masih dalam peringkat akhir memuktamadkan dasar dan perundangan cukai barang bernilai tinggi.

 

Sementara itu, Tomei kekal optimistik mengenai prospeknya untuk 2024, sambil menambah bahawa ia akan meneruskan strateginya untuk menyediakan lebih banyak produk buatan sendiri.

 

"Memandangkan ini adalah Tahun Naga, kami meramalkan lebih banyak perkahwinan dan bayi baru lahir pada 2024. Kami berharap untuk melancarkan rangkaian produk [ lebih luas], dan mencari lebih banyak peluang untuk berkembang. Sementara itu, kami juga akan mengembangkan beberapa kedai sedia ada kami,” katanya.

 

Untuk musim perayaan yang akan datang, Tomei telah melancarkan lima siri produk, termasuk ‘Marvelous Dragon Collection’ diilhamkan oleh zodiak Cina, ‘Tomei Fortune Collection’ yang menampilkan barang kemas berbentuk abakus, dan ‘Glorious Culture’ yang disepadukan dengan unsur feng shui.

 

Tambahan, Tomei meramalkan harga emas akan kekal menaik pada 2024.

 

"Melihat laporan, [harga emas] masih menaik. Persoalannya adalah bilakah Amerika Syarikat akan mula mengurangkan kadar faedah. Kadar faedah telah pun memuncak, jadi ia hanya menunggu masa. Itulah sebabnya, terutamanya untuk separuh kedua tahun ini, kami agak yakin,” kata Ng.

 

Setakat pukul 4:39 petang ini, saham Tomei naik 1 sen atau 0.8% kepada RM1.26, menilai permodalan pasaran kumpulan itu pada RM174.6 juta. - DagangNews.com