Tan Kean Tet
Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com
KUALA LUMPUR 20 Ogos - Syarikat Iconic Worldwide Berhad (Iconic Worldwide) meletakkan sasaran pendapatan yang lebih tinggi menjelang tahun kewangan 2022 (FY22).
Sasaran tersebut dibuat dengan menilai kepada pengembangan syarikat dalam rangkaian produk peralatan pelindung diri (PPE) yang merangkumi alat perubatan diagnostik in-vitro (IVD) dan pelitup muka ‘copper oxide’.
Iconic Worldwide yang terlibat dengan perniagaan pelancongan, pembangunan hartanah dan pembuatan PPE itu menggerakkan usaha berkenaan untuk terus memacu pendapatan daripada segmen PPE syarikat.
Segmen PPE telah menyumbang 15.19% daripada jumlah pendapatan syarikatnya pada tahun kewangan 2021 (FY21) yang berakhir 31 Mac.
Pengarah Urusan Iconic Worldwide, Datuk Tan Kean Tet berkata, cabang penjagaan kesihatannya, Iconic Medicare Sdn Bhd telah bekerjasama dengan pengeluar peralatan asli (OEM) dari Amerika Syarikat untuk alat perubatan seperti ‘Coronavirus Ag Rapid Test Cassette’ (ujian calitan atau ‘swab test’), COVID-19 Ag Rapid Test Cassette (ujian cecair atau ‘oral fluid;) dan ‘SARS-CoV-2 Neutralizing Antibody Rapid Test Cassette’ (seluruh darah, serum, plasma).
"Kami sedang memohon kelulusan Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) untuk produk yang akan dijual di Malaysia.
"Kit ujian sangat dikehendaki pada masa ini kerana kilang melakukan pemeriksaan secara mingguan dan masyarakat umum juga menggunakannya di rumah dengan lebih kerap untuk menguji kesihatan diri.
"Kami menyasarkan untuk melancarkan produk ini pada suku keempat tahun ini," katanya dalam satu kenyataan.
Iconic Medicare mempelbagaikan rangkaian produk pelitup muka dengan menghasilkan jenis pelitup pelindung baru seperti alat pernafasan KF99 dan KN99.
Ia dilengkapi dengan struktur pelitup 3D untuk perlindungan yang lebih baik dan pelindung penerobosan berganda yang meningkatkan prestasi penapisan keseluruhan.
Siri topeng ‘copper oxide’ yang boleh membersih secara sendiri terbukti di makmal mampu membunuh 99% zarah virus setelah beberapa minit bersentuhan.
Dalam pada itu, Iconic Medicare telah menjalankan ujian dan memperoleh beberapa sijil ISO, serta piawaian EU dan GB untuk sarung tangan dan pelitup muka buatan tempatan.
Usaha berkenaan membolehkan kumpulan mengeksport produknya ke luar negara.
"Pengembangan rangkaian produk PPE keluaran Iconic Medicare diharapkan dapat memberikan sumbangan positif kepada keseluruhan pendapatan masa depan dan juga pendapatan sesaham kumpulan," ujarnya.
Hingga kini, kilang pembuatan Iconic Worldwide yang terletak di Perai, Pulau Pinang mampu menghasilkan kira-kira 12 juta keping pelitup muka setiap bulan.
Bahagian penjagaan kesihatannya, Iconic Medicare Sdn Bhd akan segera meningkatkan pengeluaran topeng muka dan sarung tangan sebaik sahaja kilang pembuatan PPE baharu yang terletak di Batu Kawan siap. - DagangNews.com