PUTRAJAYA 13 Mac - Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan kemenangan besar Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebagai di luar jangkaan.
Menurut beliau, ramai menjangkakan BN boleh menang tetapi dengan majoriti mudah atau 35 kerusi.
''Kemenangan di 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN Johor semalam melebihi sasaran ditetapkan oleh parti.
''Saya percaya rakyat sudah boleh membuat perbandingan. Dulu mereka tidak boleh membuat perbandingan sebab negara diperintah BN selama 60 tahun, ramai rakyat waktu itu melihat kelemahan BN.
''Tetapi selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 rakyat sudah boleh menilai dan ternyata apa yang dijanjikan oleh parti lain tidak dipenuhi walaupun sudah diberikan peluang oleh rakyat.
''Rakyat menilai siapa yang lebih baik dan terbukti BN prihatin membantu rakyat. Disebabkan itu juga kita menang di Melaka,'' katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMN) berkata, dalam PRN Johor kali ini, rakyat mudah membuat pilihan.
''Saya mengucapkan terima kasih kepada pengundi Johor kerana memberikan kepercayaan kepada BN untuk menerajui kepemimpinan negeri berkenaan.
''Terima kasih kepada semua kepimpinan UMNO, BN, rakan-rakan parti BN dan semua jentera yang bekerja kuat memenangkan parti,'' ujar beliau.
Perdana Menteri berkata, rakyat Johor sudah membuat pilihan, semua pihak harus menerima dengan hati yang terbuka.
''Lupakan pertandingan yang telah berlalu, duduk bersama sebagai keluarga besar Keluarga Malaysia untuk kita bersama-sama membangunkan negeri Johor,'' ujar beliau. - DagangNews.com