Kementerian Kewangan: 3.45 juta ahli KWSP pindahkan RM10.86 bilion ke Akaun Fleksibel setakat 10 Jun 2024 | DagangNews Skip to main content

Kementerian Kewangan: 3.45 juta ahli KWSP pindahkan RM10.86 bilion ke Akaun Fleksibel setakat 10 Jun 2024

Oleh BERNAMA

KUALA LUMPUR 27 Jun ― Sejumlah 3.45 juta atau 26.6 peratus ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di bawah umur 55 tahun, telah memilih untuk memindahkan RM10.86 bilion daripada Akaun Sejahtera mereka (Akaun 2) ke Akaun Fleksibel (Akaun 3) setakat 10 Jun, menurut Kementerian Kewangan (MoF).

 

Dalam jawapan bertulis Parlimen, MOF menyatakan 2.93 juta ahli telah mengeluarkan RM6.98 bilion daripada Akaun Fleksibel, dengan purata pengeluaran RM2,382.

 

MOF menjawab pertanyaan Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Sh Ali (BN-Pekan) mengenai statistik semasa pengeluaran yang dibuat oleh ahli KWSP di bawah skim penstrukturan semula akaun.

 

 

Menurut MoF, kebanyakan pengeluaran ini boleh ditampung oleh baki tunai semasa KWSP, aliran tunai masuk bersih daripada caruman, tempoh matang dan pendapatan pelaburan.

 

Selain itu, RM4.82 bilion telah dipindahkan ke Akaun Persaraan ahli (Akaun 1), menyebabkan pertambahan 39,000 ahli mencapai simpanan asas RM240,000.

 

“Bagi mengekalkan kestabilan simpanan persaraan ahli, Akaun Persaraan telah diperkukuhkan lagi bagi meningkatkan simpanan persaraan ahli,” kata kementerian itu.

 

 

kwsp

 

 

Bermula 11 Mei 2024, nisbah caruman kepada Akaun Persaraan akan meningkat lima peratus kepada 75 peratus.

 

“Inisiatif ini bukan sekadar tindak balas kerajaan terhadap keperluan semasa, tetapi langkah proaktif untuk membantu orang ramai menghadapi perubahan landskap pekerjaan, demografi dan keperluan kitaran hayat ahli KWSP.

 

“Dengan inisiatif ini, kerajaan berusaha untuk memastikan setiap ahli KWSP dapat menguruskan kewangan mereka dengan yakin dan berdaya tahan dalam persekitaran yang dinamik dan mencabar hari ini,” tambah MoF. - DagangNews.com