Kementerian Kewangan diminta pastikan lantik wakil Sabah, Sarawak dalam lembaga pengarah LHDN | DagangNews Skip to main content

Kementerian Kewangan diminta pastikan lantik wakil Sabah, Sarawak dalam lembaga pengarah LHDN

Ahli Parlimen Batang Lupar Dato Sri Rohani Abdul Karim

KUALA LUMPUR 11 Mac – Kementerian Kewangan diminta bertindak segera  memastikan Sarawak dan Sabah diwakili dalam lembaga pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) seperti yang dimandatkan dalam Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) 1962.

 

Ahli Parlimen Batang Lupar Dato Sri Rohani Abdul Karim berkata, IGC yang ditubuhkan untuk menyelesaikan butiran akhir Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dengan jelas menyatakan perkara itu dalam Perenggan 24(1) syor atau tuntutan ini.

 

“Sarawak dan Sabah mesti diwakili dalam LHDN. Ia adalah wajib, tetapi sehingga kini Sarawak masih belum mempunyai perwakilan dalam LHDN.

 

“Oleh itu, sudah tiba masanya perkara ini dipandang serius dan dilaksanakan oleh Kementerian Kewangan dengan segera

 

''Perkara ini penting memandangkan Sarawak dan Sabah perlu diberi hak yang sewajarnya, khususnya peruntukan yang bersesuaian mengikut keluasan wilayah dan status semasa mereka sebagai rakan kongsi setara selaras dengan semangat MA63.

 

“Kerajaan Sarawak sedang mengkaji untuk meneruskan tuntutan supaya Sarawak mempunyai wakil dalam LHDN bagi mendapatkan angka tepat hasil negara,” katanya ketika membahaskan titah ucapan Yang di-Pertuan Agong di Parlimen pada Khamis.

 

Struktur lembaga pengarah LHDN kini dipengerusi oleh Ketua Perbendaharaan Negara, Datuk Seri Asri Hamidin dengan tujuh ahli terdiri daripada CEO LHDN, Datuk Mohd Nizom Sairi;  Ketua Akauntan Negara, Datuk Dr Yacob Mustafa; wakil Pejabat Peguam Negara, wakil Kementerian Kewangan dan tiga juruperunding swasta.

 

lhdn

 

Rohani berkata, dengan pengetahuan penuh tentang kedudukan kewangan negara, Sarawak kemudiannya boleh menuntut jumlah yang sesuai berdasarkan hak dan undang-undang seperti yang termaktub di bawah Perkara 112(D) Perlembagaan Persekutuan.

 

Rohani menggesa semua pihak berkepentingan untuk bekerjasama rapat dalam menyelesaikan perincian perkara ini berdasarkan kejayaan meluluskan Rang Undang-undang untuk meminda Perlembagaan Persekutuan di Parlimen pada Disember tahun lepas.

 

 “Adalah diharapkan dengan MA63 kini diiktiraf dalam Perlembagaan, kerajaan boleh mendalami semua janji yang dibuat pada 1963 dan diperuntukkan dalam Laporan IGC dan Laporan Suruhanjaya Cobbold mengenai tuntutan Sarawak dan Sabah.

 

“MA63 adalah salah satu perjuangan penting untuk semua rakyat Sarawak. Justeru, saya akan berdiri teguh di belakang Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk terus menyuarakan perkara ini sehingga (hak) Sarawak sebagai rakan kongsi di Malaysia dilaksanakan seperti yang termaktub dalam perjanjian,” katanya. — DagangNews.com