Kementerian Kewangan nafi beri pinjaman RM1 bilion kepada AirAsia | DagangNews Skip to main content

Kementerian Kewangan nafi beri pinjaman RM1 bilion kepada AirAsia

KUALA LUMPUR 13 Okt. - Tiada sebarang pinjaman yang diberikan kepada mana-mana syarikat penerbangan di Malaysia, menurut sumber Kementerian Kewangan. 

Kenyataan itu sebagai maklum balas kepada dakwaan syarikat penerbangan tambang murah Malaysia, Kumpulan AirAsia Berhad (AirAsia) telah menerima kredit daripada pihak kerajaan.

“Kementerian Kewangan ingin menjelaskan bahawa kementerian ini tidak meluluskan sebarang pembiayaan atau jaminan kerajaan kepada mana-mana syarikat penerbangan,” kata jurucakap Kementerian Kewangan menurut theedgemarkets.com.

Hari ini, Nikkei Asia melaporkan bahawa kumpulan syarikat penerbangan itu berjaya memperoleh RM1 bilion (AS$242 juta) kredit daripada kerajaan. 

Baca : Saham AirAsia digantung

Baca : AirAsia rugi RM803.85j pada Q1 2020

Menurut laporan itu yang memetik kenyataan seorang sumber, pinjaman berkenaan menyaksikan 80% jaminan daripada Kementerian Kewangan di mana melibatkan sekumpulan bank tempatan di bawah skim kerajaan.

Langkah itu didakwa bertujuan membantu AirAsia untuk menangani impak COVID-19 selain digunakan bagi pembayaran balik pinjaman jangka pendek dan modal bekerja. 

Baca : AirAsia Japan dijangka henti operasi sementara pada Oktober 2020

Pada suku pertama 2020 berakhir 31 Mac lalu, AirAsia mencatatkan kerugian bersih sehingga RM805.3 juta susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). 

Akibat berdepan cabaran COVID-19, AirAsia mengumumkan operasi di AirAsia Japan Co Ltd dihentikan. 

Baca : AirAsia tutup operasi syarikat gabungan di India?

Selepas itu, AirAsia juga menyaksikan syarikat penerbangan gabungan di India pula berdepan risiko ditutup, seperti didedahkan media tempatan. - DagangNews.com