Kementerian Kewangan sahkan 1MDB dan SRC failkan tuntutan sivil | DagangNews Skip to main content

Kementerian Kewangan sahkan 1MDB dan SRC failkan tuntutan sivil

 

 

KUALA LUMPUR 10 Mei - Kementerian Kewangan mengesahkan tindakan pemfailan 22 tuntutan sivil oleh 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan SRC International Sdn. Bhd. (SRC) melibatkan pemulangan aset melebihi RM96.6 bilion. 

 

Tuntutan itu yang difailkan pada 7 Mei lalu turut membabitkan kira-kira RM300 juta tuntutan terhadap pelbagai pihak tempatan.

 

Dalam kenyataan hari ini, Kementerian Kewangan berkata, 6 daripada writ saman difailkan oleh 1MDB, sementara 16 lagi oleh SRC. 

 

"1MDB dan SRC menyatakan bahawa entiti-entiti dan/atau individu-individu ini telah mendapatkan pengkayaan tidak wajar melalui penerimaan wang secara salah dari 1MDB atau SRC," katanya. 

 

Writ yang difailkan oleh 1MDB ini adalah terhadap 9 entiti (termasuk 2 institusi kewangan asing) dan 25 individu atas pelbagai kesalahan termasuk pelanggaran kewajipan kontrak, statutori, common law dan fidusiari, pecah amanah, frod, konspirasi frod, salah nyata frod, pecah kewajipan dan amanah secara frod, penyembunyian secara frod, penyelewengan secara frod, bantuan tidak jujur dalam penyelewengan dana, kecuaian, penerimaan dengan pengetahuan dan pengkayaan tidak wajar.

 

Sementara itu, writ yang difailkan oleh SRC adalah terhadap 15 individu dan 8 entiti atas pelbagai kesalahan termasuk penyalahgunaan kuasa, pelanggaran kewajipan fidusiari di jawatan awam, pecah amanah, konspirasi, bantuan tidak jujur, pelanggaran kewajipan secara frod, penerimaan dengan pengetahuan, salah laku dan penukaran salah.

 

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, berikutan kejayaan penyelesaian yang signifikan terhadap Goldman Sachs, AmBank Group dan Deloitte PLT, usaha kerajaan kini difokuskan untuk membawa ke muka pengadilan pesalah laku lain yang telah menyebabkan kerugian kepada 1MDB dan/atau SRC semasa pelaksanaan tugas mereka, sebagai pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam pelbagai operasi dan urus niaga 1MDB dan/atau SRC. 

 

"Seperti yang telah dinyatakan sebelum ini, kerajaan akan meneruskan usaha sehingga semua pihak yang terlibat dipertanggungjawabkan sepenuhnya atas kesalahan kepada negara melalui penglibatan mereka dalam 1MDB dan/atau SRC," tegasnya. 

 

Malaysia sebelum ini telah menerima RM10.5 bilion (AS$2.5 bilion) dari Goldman Sachs pada Ogos 2020 dengan jaminan pemulangan aset selanjutnya sebanyak RM5.88 bilion (AS$1.4 bilion). 

 

Tidak lama lagi, kerajaan juga akan menerima RM2.83 bilion dariAmbank Group dan RM336 juta (AS$80 juta) dari Deloitte PLT. 

 

Jelas Kementerian Kewangan, semua hasil dari usaha pemulangan aset 1MDB termasuk penyelesaian akan datang dimasukkan ke dalam Akaun Amanah Pemulangan Aset di bawah seliaan Jabatan Akauntan Negara. 

 

"Penyelesaian ini tidak menjejas atau mengkompromi tuntutan Malaysia terhadap pesalahlaku lain yang telah menyebabkan kerugian kepada 1MDB dan SRC, dan mereka akan tetap dihadapkan ke muka pengadilan melalui sistem perundangan jenayah dan sivil," tambahnya. - DagangNews.com