Kementerian Kewangan terbuka kaji cukai lain bagi tambah hasil negara | DagangNews Skip to main content

Kementerian Kewangan terbuka kaji cukai lain bagi tambah hasil negara

Datuk Seri Amir Hamzah Azizan
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 5 Mac - Kementerian Kewangan sentiasa terbuka mengkaji cukai-cukai lain yang dapat menambah hasil kepada negara tanpa mendatangkan kesan jangka panjang pada kemudian hari.

 

Menteri Kewangan Kedua, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, asas cukai Malaysia berada pada 11.2% daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) iaitu antara terendah di rantau ini, berbanding Singapura pada 12.6% yang biasa dilihat sebagai sebuah ekonomi dengan cukai rendah.

 

"Meskipun reformasi percukaian adalah perlu, Kerajaan tetap membuat penelitian sewajarnya bagi memastikan rakyat tidak terbeban dan pada masa sama, ruang fiskal kekal mampan," katanya dalam jawapan lisan pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

 

Kementerian Kewangan ditanya Rodziah Ismail (PH-Ampang) iltizam dan kesediaan Kerajaan Persekutuan untuk memperkenalkan lebih banyak alternatif percukaian progresif seperti Cukai Harta Pusaka dan Cukai Keuntungan Modal terlebih dahulu sebelum melaksanakan semula GST, sejenis cukai regresif dalam usaha mempelbagaikan dan meningkatkan pendapatan negara di samping menangani defisit. 

 

Menurut Amir Hamzah, di bawah Belanjawan 2024, Kerajaan mengambil pendekatan yang lebih progresif sebagai langkah meningkatkan pendapatan negara antaranya melalui beberapa langkah reformasi percukaian.

 

Katanya, pertama, Cukai Keuntungan Modal ke atas pelupusan saham tidak tersenarai pada kadar 10% bermula 1 Mac 2024. 

 

"Selaras dengan amalan terbaik percukaian antarabangsa dan atas prinsip keadilan sosial cukai juga dikenakan ke atas penjualan aset modal sebagai hasil tambahan kepada Kerajaan selain cukai yang dikenakan bagi pendapatan syarikat. 

 

"Walau bagaimanapun, cukai ini tidak dikenakan ke atas individu yang melupuskan saham tidak tersenarai," jelasnya.

 

Ujar beliau, mulai 1 Mac 2024 juga, skop perkhidmatan bercukai di bawah Akta Cukai Perkhidmatan 2018 diperluas meliputi perkhidmatan baharu seperti pusat karaoke, logistik serta pembrokeran dan penajajaminan seperti perkhidmatan broker kapal/kapal terbang, komoditi dan harta tanah. 

 

sst

 

Katanya, kadar cukai perkhidmatan turut dinaikkan daripada 6% kepada 8% kecuali perkhidmatan makanan dan minuman, telekomunikasi dan penyediaan ruang parkir. Langkah mengecualikan perkhidmatan seperti makanan dan minuman bersifat progresif yakni mengurangkan impak kenaikan cukai kepada kos sara hidup rakyat. 

 

"Langkah cukai perkhidmatan dianggar akan menjana hasil tambahan RM3 bilion," katanya.

 

Ketiga kata beliau, Kerajaan kini sedang menggubal perundangan baharu bagi melaksanakan Cukai Barangan Bernilai Tinggi pada kadar 5% dan 10%. 

 

Menurut Amir Hamzah, cukai ini akan dikenakan berdasarkan nilai ambang tertentu yang ditetapkan bagi setiap barangan terlibat. 

 

"Cukai ini juga bersifat progresif kerana dikenakan atas mereka yang mampu membeli barangan bernilai tinggi dan tidak membebankan golongan berpendapatan rendah," ujarnya.

 

Beliau berkata, kerajaan MADANI komited mengukuhkan kedudukan kewangan negara dengan mampan supaya dapat menyokong agenda pembangunan dan kesejahteraan rakyat. 

 

"Selain daripada mengkaji langkah cukai baharu, usaha juga digandakan bagi menangani ketirisan kutipan hasil cukai sedia ada dan memastikan pihak yang sepatutnya membayar cukai, memenuhi tanggungjawab mereka," katanya. - DagangNews.com