Kementerian Pendidikan belum putuskan laksana semula PT3 | DagangNews Skip to main content

Kementerian Pendidikan belum putuskan laksana semula PT3

Datuk Dr. Radzi Jidin berucap ketika pelancaran Sekolahku SEJAHTERA di PICC, Putrajaya hari ini

PUTRAJAYA 21 Feb - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sedang mencari pendekatan sesuai sebelum melaksanakan semula ujian Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3), selepas dua tahun ia ditangguhkan.

 

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, ketika ini pihak kementerian belum membuat sebarang keputusan sama ada untuk melaksanakannya semula atau sebaliknya.

 

Beliau berkata, kementerian juga sedang meneliti pendekatan paling sesuai dengan mengambil kira tahap penguasaan murid.

 

"Berikutan itu, kita tengah tengok tahap penguasaan murid apabila sekolah dibuka pada hari ini. Belum ada sebarang keputusan rasmi oleh KPM berkaitan dengan PT3.

 

"Apa yang kita ingin lihat adalah tahap penguasaan anak-anak kita yang berada di sekolah...mereka sudah mula masuk ke sekolah, untuk membolehkan kita mendapat indikasi apakah pendekatan yang paling sesuai," katanya pada sidang media selepas melancarkan Sekolahku SEJAHTERA di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, hari ini.

 

Dr. Radzi berkata demikian mengulas mengenai pemakluman Lembaga Peperiksaan Sabtu lalu, berhubung perkara itu yang akan diadakan semula pada tahun ini.

 

Sabtu lalu, satu pemakluman dimuat naik lembaga itu di laman Facebook, menyatakan PT3 dilaksanakan pada Oktober hingga November.

 

Ia selari pelaksanaan PT3 yang ditangguhkan selama dua tahun sejak 2020 akibat pandemik COVID-19. Bagaimanapun pemakluman itu kemudian ditarik balik.

 

Terdahulu, konsep Sekolahku SEJAHTERA yang dilancarkan hari ini bermatlamat melahirkan generasi muda yang hebat serta mampu bersaing di peringkat dunia.

 

Beliau berkata, ia boleh dicapai melalui penjiwaan terhadap 14 elemen penting yang diberikan penekanan dalam konsep Sekolahku SEJAHTERA.

 

Bagaimanapun, katanya, 14 elemen penting dalam konsep berkenaan yang dilancarkan hari ini, bukan bermakna ia mengetepikan elemen lain dalam kehidupan.

 

"Penekanan konsep ini untuk memastikan anak kita yang lahir daripada sistem pendidikan negara dapat bersaing dan mampu berdaya saing di peringkat dunia," katanya.

 

Elemen penting berkenaan adalah selamat, seronok, sihat, etika, empati, jati diri, adab sopan, harmoni, tekun, teliti, terampil, eksplorasi, rasional dan artikulasi.

 

Radzi berkata, biarpun konsep berkenaan akan dimulakan pada sesi persekolahan akan datang, ia bukanlah satu mata pelajaran atau silibus baharu serta tidak akan membebankan guru, lapor Berita Harian.

 

Sebaliknya, beliau berkata, kesemua 14 elemen penting itu akan diterapkan melalui pengajaran mata pelajaran dan silibus sedia ada secara semula jadi, serta tidak akan dinilai. - DagangNews.com