Kementerian Sumber Manusia terima 111,807 permohonan pekerja asing sejak 15 Februari 2022 | DagangNews Skip to main content

Kementerian Sumber Manusia terima 111,807 permohonan pekerja asing sejak 15 Februari 2022

KUALA LUMPUR 21 Feb - Kementerian Sumber Manusia menerima 111,807 permohonan penggajian pekerja asing sejak ia mula dibuka pada 15 Februari 2022.

 

Menterinya, Datuk Seri M. Saravanan berkata, pihak menerima sebanyak 77,848 permohonan dalam sektor perkilangan diikuti sektor perladangan dengan 13,119 permohonan, perkhidmatan (10,611 permohonan), pembinaan (8,530 permohonan) dan pertanian (1,699 permohonan).

 

"Saya tidak menafikan pada peringkat awal permohonan ini dibuka terdapat majikan yang menghadapi kesukaran untuk memohon secara dalam talian.

 

"Ini adalah kerana jumlah permohonan yang tinggi memandangkan permohonan untuk pekerja warga asing telah dihentikan buat sementara sejak bulan Mac 2020 susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang pertama," katanya dalam satu kenyataan, hari ini

 

Saravanan berkata, majikan juga dibenarkan menggunakan khidmat Agensi Pekerjaan Swasta (APS) untuk mengemukakan permohonan pekerja asing meskipun sebelum ini diumumkan permohonan pekerja secara dalam talian perlu diisi oleh majikan kecuali permohonan untuk pembantu rumah asing (PRA).

 

“Semasa sesi pertemuan dengan pihak majikan dan persatuan baru-baru ini, saya telah dimaklumkan mengenai masalah dihadapi oleh majikan semasa membuat permohonan dan mereka telah menggunakan khidmat APS bagi tujuan tersebut.

 

“Sehubungan itu, APS boleh membuat permohonan bagi pihak majikan dengan syarat bahawa permohonan tersebut dikemukakan dengan pengetahuan dan kebenaran majikan,” katanya. - DagangNews.com