Kementerian Wilayah jalankan saringan percuma pertengahan Jun ini | DagangNews Skip to main content

Kementerian Wilayah jalankan saringan percuma pertengahan Jun ini

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa

 

 

KUALA LUMPUR 25 Mei - Kementerian Wilayah Persekutuan melalui Dewan Bandaraya Kuala Lumpur akan melaksanakan saringan komuniti bersasar kepada 20,000 warga emas dan kumpulan rentan di Kuala Lumpur secara percuma bermula pertengahan Jun ini. 

 

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, saringan itu membabitkan 4 lokasi Projek Perumahan Rakyat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (PPR MTEN), Perumahan Awam (PA) DBKL dan Kampung Tradisi. 

 

Katanya, proses saringan akan dikendalikan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dengan kerjasama DBKL yang memberi tumpuan kepada lokasi di bawah perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD). 

 

"Inisiatif itu diambil memandangkan kebanyakan warga Kuala Lumpur yang tidak bergejala menjadi pembawa penyakit senyap sehingga menyebabkan gelombang keempat wabak COVID-19 di sesuatu kawasan," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Langkah itu merupakan satu daripada 7 inisiatif baharu kementerian di bawah Inisiatif Wilayah Cakna (IWC) 5.0 khusus untuk warga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan yang terkesan dengan PKP khususnya golongan B40 dan miskin.

 

Bagaimanapun, IWC 5.0 tidak melibatkan kluster petugas barisan hadapan dan pesakit serta pesakit di bawah siasatan (PUI) COVID-19. 

 

Annuar Musa berkatta, di bawah inisiatif trak vaksin bergerak MyMedic@Wilayah sebanyak 67 PPR akan menerima suntikan vaksin percuma dengan melibatkan 3 trak MYMedic@Wilayah yang memanfaatkan kira-kira 20,000 warga emas dan kumpulan rentan. 

 

"Sebanyak RM7 juta diperuntukan oleh pihak kementerian dan DBKL bagi membiayai program pemvaksinan tersebut.


 
"Seramai 900 orang disasarkan menerima vaksin pada setiap hari melibatkan 3 lokasi tumpuan," katanya.

 

Menurut beliau, penvaksinan melalui kaedah ini dapat memastikan semua warga Wilayah Persekutuan Kuala
Lumpur divaksin sepenuhnya menjelang akhir 2021.

 

 

Gambar MalayMail
Kementerian Wilayah Persekutuan menyasarkan 900 orang menerima vaksin pada setiap hari melibatkan 3 lokasi tumpuan. - Gambar MalayMail

 

 

Bagi golongan gelandangan pula, katanya, mereka akan menerima vaksin setelah menjalani ujian saringan COVID-19 bermula 27 Mei ini. 

 

Fasa pertama melibatkan seramai 119 gelandangan yang menghuni di Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur,
Anjung Kelana Taman Desa dan Anjung Singgah. 

 

Selebihnya seramai 132 gelandangan yang telah menjalani ujian saringan COVID-19 pada 24 Mei lalu akan divaksin secara berperingkat di Dewan Komuniti Sentul Perdana, Kuala Lumpur. 

 

"Kesemua gelandangan yang telah menerima vaksin boleh terus menyertai program pembangunan kendiri termasuk aktiviti pertanian bandar di Anjung Kelana, Kuala Lumpur," tambahnya.

 

Dalam pada itu, bagi membantu golongan pelajar, beliau berkata, kementerian dan Yayasan Wilayan Persekutuan mewujudkan Kelas Digital SPM Mahir Tutor kepada semua calon SPM di Wilayah Persekutuan mulai 1 Jun 2021 sehingga tarikh tamat peperiksaan. 

 

Selain itu, bagi memastikan kelancaran proses pembelajaran secara atas talian, pihak DBKL akan
melaksanakan pemasangan Wi-Fi percuma di semua lokasi terlibat. 

 

Untuk peniaga pula, inisiatif Wilayah Bebas Berniaga (IWBB) diperkenalkan dan mengecualikan bayaran pembaharuan lesen perniagaan melibatkan kira-kira 4,510 peniaga berlesen di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan. 

 

"Susunan dan lokasi gerai akan disusun semula bagi mengelakkan pengelompokan peniaga di sesuatu kawasan tumpuan. Sehingga kini, kementerian telah menerima 7,842 permohonan bagi IWBB," katanya. 

 

Di samping itu, Lorong Tuanku Abdul Rahman (TAR) pula dijadikan ruang perniagaan harian dengan jumlah
peniaga yang terhad khusus kepada belia di bawah program Usahawan Anak Muda Kota Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. 

 

Sebanyak 50 petak perniagaan berukuran 8 kaki persegi dengan jarak 8 kaki di antara setiap gerai bakal beroperasi dalam masa yang terdekat. 

 

"Bermula Julai ini, kementerian dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan Negara menawarkan program latihan keusahawanan di bawah kelolaan Insken di beberapa lokasi perniagaan," tambahnya.

 

Beliau menegaskan, DBKL melalui pasukan KL Watch melipatgandakan kerja-kerja pemantauan pematuhan SOP dengan memperluaskan penguatkuasaan secara berterusan di kawasan hot spot dan tumpuan ramai terutama pada hari cuti umum dan kelepasan am bagi memastikan semua warga mematuhi SOP yang ditetapkan oleh kerajaan. 

 

"Keprihatinan kerajaan terhadap isu dan situasi yang getir ini haruslah ditangani secara bersama terutama dalam komuniti supaya kita berjaya memutuskan rantaian COVID-19 dan menjadi Wilayah Persekutuan sifar COVID-19," katanya. - DagangNews.com