Kemerosotan kawasan tanaman menjadi antara cabaran utama sektor kelapa sawit, kata Maybank IB | DagangNews Skip to main content

Kemerosotan kawasan tanaman menjadi antara cabaran utama sektor kelapa sawit, kata Maybank IB

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 17 Jan - Sektor kelapa sawit Malaysia diunjur terus menghadapi beberapa cabaran utama termasuk kemerosotan kawasan tanaman, kekurangan daya saing harga berbanding Indonesia dan hasil yang lebih rendah.

 

Maybank Investment Bank (Maybank IB) berkata, kawasan tanaman kelapa sawit telah menyusut sebanyak 22,000 hektar lagi pada 2023, walaupun pada kadar yang lebih perlahan berbanding tiga tahun lalu.

 

Katanya, ia merupakan tahun keempat berturut-turut berlakunya penyusutan kawasan tanaman di Semenanjung Malaysia (25,000 hektar) tetapi diimbangi pertambahan kawasan di Sabah (2,000 hektar) dan Sarawak (1,300 hektar). 

 

"Secara kumulatifnya, Malaysia telah kehilangan 250,000 hektar kawasan tanaman antara 2020 dan 2023.

 

"Kemungkinan sebab penurunan itu termasuk penukaran kepada tanaman pertanian lain akibat penyakit kelapa sawit, kekurangan pekerja, kurang minat generasi muda, dan pertimbangan ESG.

 

"Selain itu, mereka juga membuka kunci nilai tanah melalui pembangunan hartanah dan/ atau pembangunan infrastruktur seperti ladang solar," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, purata harga jualan (ASP) minyak sawit mentah (MSM) pada 2023 adalah RM3,810 satu tan manakala ASP MSM Indonesia adalah sekitar RM3,345 bagi setiap tan kesan daripada cukai eksport negara itu.

 

Katanya, ASP MSM yang lebih rendah di Indonesia bermakna kos bahan suapan yang lebih rendah untuk industri hiliran dalam negara itu yang seterusnya (secara teorinya) menawarkan margin yang lebih baik kepada pemain hiliran di sana.

 

"Secara keseluruhannya, kadar penggunaan kilang penapisan Malaysia meningkat kepada 61.8% pada 2023 tetapi kekal rendah disebabkan lebihan kapasiti keseluruhan," katanya.

 

Sementara itu, Maybank IB berkata, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) mengunjurkan ASP MSM antara RM3,900 hingga RM4,200 setiap tan pada 2024 (lebih tinggi daripada ramalan firma itu sebanyak MYR3,700 bagi setiap tan) disebabkan bekalan minyak sawit yang tidak mencukupi.

 

Antara faktor lain yang mempengaruhi termasuk pelaksanaan mandat biodiesel B35 di Indonesia yang mengehadkan eksport minyak sawit, keadaan cuaca yang tidak baik pada 2023, pengeluaran kacang soya menjadi perlahan sekurang-kurangnya sehingga April 2024 dan pengeluaran stok minyak sawit Malaysia kepada 1.95 mt menjelang akhir tahun.

 

"Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'neutral' bagi sektor perladangan," katanya. - DagangNews.com