Prof. Tan Sri Noor Azlan Ghazali
KUALA LUMPUR 5 Mac. - Kemiskinan di negara ini dilihat perlu ditakrifkan semula dengan lebih tepat.
Pengarah Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi (MTE), Prof. Tan Sri Noor Azlan Ghazali berkata, ia penting bagi mengklasifikasikan atau membezakan sama ada kemiskinan kekal atau transit.
"Adalah penting supaya kemiskinan dibuat pentakrifan semula dan diklasifasikan dengan lebih tepat, sama ada kemiskinan kekal atau transit.
"Sebagai contoh kumpulan petugas kabin kru yang ramai dalam kalangan mereka hilang pendapatan akibat pandemik yang menjejaskan industri penerbangan, namun sekiranya kumpulan ini kembali bertugas semula nanti, mereka tidak seharusnya diletakkan dalam kumpulan kemiskinan kekal," katanya seperti dilapor Bernama.
Mengulas lanjut, beliau memberitahu, kerajaan juga sedang menggiatkan usaha untuk mengumpulkan data yang lebih terperinci terhadap rakyat yang terkesan dengan COVID-19 sekali gus menangani isu kemiskinan di negara ini.
Katanya, data yang lebih terperinci itu dijangka akan dimumkan tidak lama lagi.
"Sudah tiba masa bagi kerajaan melihat semula perkara ini, dan bantuan seharusnya mencapai sasaran.
"Dengan mengetahui maklumat lebih terperinci seperti pendapatan, sektor kerja, dan jenis pekerjaan, kerajaan akan dapat memberi tumpuan kepada kumpulan sasaran sahaja," ujar beliau lagi.
Dalam usaha tersebut, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) serta Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri sedang bekerjasama bagi mendapatkan butiran yang diperlukan.
Dalam pada itu, kerajaan juga sedang menjalankan pelbagai program untuk meningkatkan dan membina kemahiran di bawah Tabung Pembangunan Sumber Manusia (HDRF).
Program tersebut katanya adalah untuk membantu rakyat Malaysia yang terkesan dengan pandemik termasuk memberi tumpuan kepada pemadanan kerja dan kebolehpasaran tenaga kerja. - DagangNews.com