KUALA LUMPUR 17 Julai - Sime Darby Property berjaya meraih 740 tempahan hartanah yang bernilai RM680 juta menerusi kempen atas talian yang dilancarkan bermula 25 Mac hingga 5 Julai lalu.
Peningkatan jualan itu berjaya dicapai semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) walaupun syarikat berkenaan terpaksa menutup galeri jualan dan beroperasi dengan separuh kapasiti.
Pengarah Urusan Kumpulan Sime Darby Property, Datuk Azmir Merican percaya bahawa kempen atas talian memberi manfaat kepada pembeli untuk memiliki hartanah dengan lebih mudah.
“Kempen ini menunjukkan Sime Darby Property bergerak seiring kehendak digital dan adaptasi dengan landskap operasi.
“Pelancaran baharu oleh Sime Darby Property pada masa akan datang juga akan memanfaatkan portal atas talian sebagai inisiatif transformasi digital bagi evolusi proses pembelian hartanah di syarikat ini,” katanya dalam sebuah kenyataan hari ini.
Para pembeli kebanyakannya dari Lembah Klang dan kawasan berdekatan serta negara China.
Bagi meneruskan momentum itu, Sime Darby Property dalam kenyataan sama turut mendedahkan akan melancarkan semula kempen Spotlight 8 mulai esok (18 Julai 2020).
Kempen itu akan menyaksikan ‘Pelancaran Baharu' dan 'Tawaran Menarik' di beberapa lokasi berbeza pada setiap hujung minggu sehingga 27 September depan.
“Menerusi kempen ini, para pembeli dapat berjimat lebih banyak dengan Kempen Pemilikan Rumah (HOC) 2020 selain tawaran-tawaran menarik lain,” jelas kenyataan itu.
Kempen Spotlight 8 akan mula dilancarkan di Elmina Green 3.
Pada tahun lalu, Spotlight 8 berjaya mencatat sebanyak 1,160 jualan unit yang bernilai RM1.1 bilion.
Unit tersebut melibatkan Bandar Bukit Raja, Bandar Elmina, Timur Kuala Lumpur, Subang Jaya, Bandar Serenia, Putra Heights, Kajang dan Negeri Sembilan. - DagangNews.com