Kempen 'iBilikHunter' ajak orang ramai buru avatar misteri sekitar Lembah Klang | DagangNews Skip to main content

Kempen 'iBilikHunter' ajak orang ramai buru avatar misteri sekitar Lembah Klang

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 10 Ogos - Syarikat pengurusan penyewaan di Malaysia, iBilik menganjurkan kempen 'iBilikHunter’ untuk orang ramai memburu avatar-avatar penuh misteri yang berkeliaran di kawasan sekitar Bukit Bintang dan Jalan Imbi.

 

Mereka yang 'bermata tajam' boleh menyapa avatar yang berpakaian ibarat detektif dan topi, serta lilitan lengan bertuliskan iBilikHunter secara bersemuka untuk memenangi hadiah kredit dompet digital bernilai RM50 ataupun baucar sewaan sebulan percuma untuk iBilikPreferred.  

 

Sepanjang kempen iBilikHunter yang berlangsung sehingga penghujung September 2022, iBilik akan mengemas kini klu-klu terbaharu melalui entri 'Stories' di akaun Facebook, Tiktok dan Instagram mereka bagi membantu para pemburu mengesan keberadaan avatar-avatar tersebut.

 

Kempen sepanjang 3 bulan ini tidak hanya akan berlangsung di jalan-jalan sekitar Lembah Klang, malah juga di media sosial. 

 

Para pemburu yang membuat siaran gambar beserta hashtag kempen iaitu #ibilik, #ibilikhunter dan #barudeal, akan berpeluang memenangi sebuah iPad, manakala peserta cabaran TikTok pula akan berpeluang untuk memenangi sebuah AirPod max. 

 

Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif iBilik, Lee Seng Hee berkata, mereka berhasrat untuk berhubung dengan rakyat Malaysia, khususnya golongan muda. 

 

"Oleh itu, penting untuk kami berada di platform yang selalu digunakan mereka, dan berhubung melalui aktiviti yang mereka gemari. 

 

"Selain daripada menganjurkan kempen yang seronok buat para pengguna kami serta orang awam, kami juga ingin menjadi sebahagian daripada penyelesaian masalah untuk para penyewa muda yang baru berpindah ke kota. 

 

"Dengan pelancaran iBilikPreferred kami tempoh hari, kami rasa kini merupakan masa terbaik untuk para peserta kempen menebus satu bulan sewa percuma untuk rumah-rumah yang disewa melalui iBilik Preferred,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

iBilikPreferred merupakan sebuah ciri yang membolehkan pengguna mencari rumah sewa yang paling sesuai pada harga mampu milik dengan lebih yakin. 

 

Selain daripada menawarkan kemudahan Penasihat Maya, semua penyenaraian di bawah iBilikPreferred mengikut garis panduan 30 langkah yang ketat, bagi memastikan ia dilengkapi dengan perabot dan peralatan yang memberikan pengalaman penyewaan yang selesa untuk para penyewa iBilik. 

 

Selain daripada mesra penganut agama Islam dan tidak memerlukan deposit, kesemua hartanah ini juga dilengkapi dengan perkhidmatan pembersihan mingguan dan WiFi percuma. Tidak hanya itu, iBilik juga menyediakan pilihan Rent-to-Own untuk mereka yang ingin memiliki rumah tanpa mengeluarkan jumlah yang besar untuk bayaran muka. - DagangNews.com