Syahrina Azura Abdul Rahim membawa pulang sebuah Proton Saga 1.3L Premium AT.
KUALA LUMPUR 31 Mei - Syahrina Azura Abdul Rahim, 47, dari Seri Kembangan, Selangor muncul pemenang tempat pertama kempen Jom Auto Labur bagi 2020.
Ibu kepada anak 5 ini membawa pulang sebuah Proton Saga 1.3L Premium AT.
Sementara itu, hadiah tempat kedua, sebuah motosikal Yamaha Y15R, dimenangi oleh Nur Alieyah Khoo dari Kuching, Sarawak, manakala tempat ketiga dimenangi oleh Nurul Zarifah Abu Bakar dari Seremban, Negeri Sembilan, yang memenangi sebuah telefon bimbit iPhone 12 Pro.
Di samping itu, seramai 225 pemenang bulanan telah memenangi unit amanah bernilai RM130 setiap seorang sepanjang kempen berlangsung.
Kempen Jom Auto Labur dianjurkan sempena sambutan ulang tahun ASB ke-30 tahun diadakan mulai 1 Ogos hingga 17 Disember 2020.
Ia dijalankan dengan kerjasama antara Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB), bersama Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet).
Secara keseluruhan, kempen itu menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM84,250 bagi menggalakkan pelaburan konsisten secara dalam talian menerusi portal myASNB.
Kempen ini menumpukan kepada kemudahan Auto Labur yang diaktifkan melalui perkhidmatan Direct Debit oleh PayNet, membolehkan para pelabur untuk menetapkan pelaburan bulanan mereka secara automatik melalui portal myASNB.
Peserta dikehendaki menetapkan pelaburan bulanan minimum sebanyak RM60 selama 3 bulan berturut-turut, manakala pengguna Auto Labur sedia ada perlu menambah pelaburan bulanan sebanyak RM30 minimum daripada pelan sedia ada.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif ASNB, Mohammad Hussin, kempen itu memperlihatkan satu kejayaan besar apabila pelaburan individu kian meningkat dan semakin ramai memilih unit amanah sebagai instrumen perancangan kewangan mereka.
“Walaupun menabung dan melabur dalam situasi pandemik seperti sekarang agak mencabar, dengan melabur RM100 setiap bulan mampu memberikan impak yang besar jika dirancang dalam suatu jangka masa yang panjang," katanya dalam kenyataan hari ini.
Kemudahan Auto Labur di platform myASNB yang memanfaatkan perkhidmatan Direct Debit oleh PayNet membolehkan pelabur membuat pelaburan berkala secara automatik untuk akaun unit amanah mereka sendiri, anak-anak atau pihak ketiga.
Diperkenalkan sejak 2018, Auto Labur memudahkan para pelabur yang ingin melabur secara konsisten melalui potongan terus daripada akaun bank mereka tanpa sebarang cas.
Berikutan sambutan yang menggalakkan, ASNB meneruskan kempen Jom Auto Labur bagi tahun ini, dengan lebih banyak hadiah dan lebih ramai pemenang.
Kempen ini telahpun bermula pada 1 Mac dan akan berlangsung sehingga 31 Ogos 2021 dengan menawarkan jumlah hadiah keseluruhan bernilai RM360,000 untuk lebih 1,600 pemenang. - DagangNews.com