KUALA LUMPUR 19 Ogos - Kenanga Futures Sdn Bhd melancarkan “Mastering Futures”, inisiatif baharunya bagi mendidik dan melengkapkan pedagang baharu dengan asas kukuh dalam ilmu niaga hadapan dengan memberi tumpan khusus pada produk daripada Chicago Mercantile Exchange (CME) Group.
Kenanga Futures berkata, kempen yang bermula pada hari ini sehingga 15 November itu menawarkan saluran unik kepada peserta untuk menambah baik strategi kewangan masing-masing, membolehkan mereka menguasai ilmu mengenai pengendalian niaga hadapan.
Selain itu, kempen tersebut juga melindungi peserta daripada mengalami risiko, mempelbagaikan portfolio dan menggandakan peluang pasaran.
Menurut Kenanga, perserta juga dapat memenangi hadiah menarik melalui kempen itu termasuk peluang untuk berdagang dan mendapat tempat dalam “Masterclass” Pedagang terunggul selama dua hari yang bernilai RM20,000.
Kata Kenanga, inisiatif tersebut bertujuan memudahkan pedagang runcit untuk melibatkan diri dalam perdagangan niaga hadapan sejajar dengan misi kempen untuk membina sebuah komuniti dagangan Derivatif Pintar.
Ketua Pegawai Eksekutif & Ketua Derivatif Tersenarai di Kenanga Futures, Azila Abdul Aziz berkata, kempen ‘Mastering Futures’ merupakan inisiatif unik yang menjadikan perdagangan hadapan lebih menarik dan mudah disertai oleh orang ramai.
"Ini merupakan kali pertama kami menawarkan latihan komprehensif daripada kursus e-pembelajaran asas kepada kursus pakar mendalam yang bertujuan untuk mendidik dan melengkapkan pedagang baharu yang kurang berpengalaman dengan asas kukuh perdagangan.
“Kami percaya pendekatan ini akan meningkatkan tahap penguasaan pedagang, menyumbang kepada pertumbuhan K-Ekonomi dan sekali gus mencorakkan masa depan perdagangan derivatif,” ujar beliau.- DagangNews.com