Kempen Nestlé MAGGI berjaya kumpul lebih RM80,000 bantu warga emas   | DagangNews Skip to main content

Kempen Nestlé MAGGI berjaya kumpul lebih RM80,000 bantu warga emas  

Warga emas ceria menerima bantuan makanan menerusi Kempen MAGGI Gong Xi Masak, Gong Xi Meriah Nestlé

KUALA LUMPUR 5 April – Kempen Tahun Baru Cina, MAGGI Gong Xi Masak, Gong Xi Meriah Nestlé baru-baru ini telah berjaya mengumpul RM81,000 yang disalurkan kepada 10 buah rumah jagaan warga emas di seluruh Malaysia.

 

Nestlé telah menyantuni warga emas di rumah-rumah terbabit untuk memahami dan mengenal pasti keperluan mereka seperti bekalan makanan, keperluan rumah, kerusi roda, tilam, dan peralatan elektrik termasuk ketuhar gelombang mikro dan periuk nasi.

 

Beberapa buah rumah ini juga mengalami kerosakan harta benda akibat banjir besar pada Disember tahun lalu dan memerlukan sokongan dalam menaiktaraf dan membaik pulih kemudahan kediaman mereka.

 

Pegawai Eksekutif Perniagaan MAGGI, Nestlé (Malaysia) Berhad, Geetha Balakrishna berkata, sempena menyambut Tahun Baru Cina, pihaknya meluaskan inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat kepada warga emas sebagai satu tanda penghargaan.

 

‘’Kami berharap sumbangan ini akan menambah keceriaan mereka di musim perayaan, serta menggamit memori kenangan manis mereka bersama yang tersayang dan sewaktu zaman muda.

 

‘’Kami berbesar hati melihat ramai rakyat Malaysia turut menyokong kempen ini untuk menyumbang kepada masyarakat,’’ katanya dalam kenyataan di sini.

 

Geetha berkata, seiring dengan janji jenama kami, Anda dan MAGGI Sajikan, pihaknya juga telah menyumbang pelbagai bekalan makanan ke rumah-rumah jagaan warga emas ini kerana  makanan yang disediakan sendiri di rumah mampu membawa kebaikan dan perubahan positif kepada para penghuni rumah tersebut serta komuniti.

 

Sepuluh buah rumah jagaan warga emas yang dipilih untuk menerima sumbangan daripada kempen Tahun Baru Cina ‘MAGGI Gong Xi Masak, Gong Xi Meriah’ Nestlé ini termasuklah Rumah Charis, Pusat Jagaan Wargamas Air Tenang, Rumah Orang Tua Sahana dan Noble Care di Lembah Klang.

 

Pertubuhan Kebajikan Rumah Orang-orang Tua Islam Titian Abadi dan Darul Hanan di Pulau Pinang; Pusat Jagaan Warga Emas Nur Ehsan dan Pertubuhan Kebajikan Orang Kurang Upaya di Johor; Mesra Homecare Centre di Kelantan dan Pusat Penjagaan Orang Tua Grannnies di Pahang.

 

Inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Nestlé sempena kempen Tahun Baru Cina 'MAGGI Gong Xi Masak, Gong Xi Meriah' menyaksikan Nestlé menyumbang RM0.10 untuk setiap penyertaan peraduan yang diterima daripada orang ramai, menjadikan jumlah sumbangan mencecah RM81,000. – DagangNews.com