Kempen 'Simpan Berganda Menang Bergaya 3.0' MBSB Bank tawar kereta Porsche Macan dengan hadiah keseluruhan bernilai RM3 juta | DagangNews Skip to main content

Kempen 'Simpan Berganda Menang Bergaya 3.0' MBSB Bank tawar kereta Porsche Macan dengan hadiah keseluruhan bernilai RM3 juta

(Dari kiri) Izham Ahmad, Jesleigh Johari dan Jainuddin Ismail ketika Majlis Pelancaran SBMB 3.0 di Bukit Bintang, Kuala Lumpur pada 20 Januari 2024.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 21 Jan - MBSB Bank Bhd melancarkan edisi ketiga kempen 'Simpan Berganda Menang Bergaya 3.0' CASA-i (SBMB 3.0) yang menawarkan pelbagai hadiah lumayan dengan nilai keseluruhan berjumlah RM3 juta, berlangsung mulai 1 Disember 2023 sehingga 31 Disember 2024.

 

Ketua Pegawai Operasi MBSB Bank, Jesleigh Johari berkata, pada edisi kali ini, bank itu meningkatkan jumlah hadiah keseluruhan daripada RM2.4 juta kepada RM3 juta berikutan sambutan yang menggalakkan.

 

Beliau berkata, SBMB 3.0 merupakan kesinambungan daripada kempen SBMB dan SBMB 2.0 yang dikendalikan sebelum ini.

 

Katanya, MBSB Bank bukan sahaja dapat terus menyantuni para pelanggan setia, malah memperluaskan kumpulan sasaran serta memperkenalkan produk-produk baharu yang menarik dan berdaya saing.

 

"Kempen ini akan berlangsung selama setahun. Pada edisi sebelum ini, kita anjurkan kempen ini kurang dari setahun, iaitu enam ke lapan bulan.

 

"Maklum balas yang kami terima daripada pelanggan adalah mereka mahu kempen ini dijalankan dalam tempoh panjang. Jadi kami mengadakan kempen ini bermula Disember 2023 hingga Disember 2024.

 

"Kali ini, pelanggan mahukan kelainan, yang mana pada edisi pertama kami menawarkan hadiah kereta BMW, manakala edisi kedua, Mercedes-Benz dan edisi ketiga, Porsche, Harley Davidson dan juga Mercedes-Benz," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran SBMB 3.0 di sini pada Sabtu.

 

 

MBSB
Jesleigh Johari

 

 

Turut hadir Ketua Pegawai Kredit MBSB Bank, Jainuddin Ismail dan Naib Presiden Kanan Saluran Pengagihan Cawangan MBSB Bank, Izham Ahmad.

 

Menurut Jesleigh, pihaknya menggalakkan orang ramai menyertai kempen tersebut kerana cara penyertaannya amat mudah. 

 

 

MBSB

 

 

Katanya, mereka hanya perlu membuka Akaun Semasa-i atau Akaun Simpanan-i PrimeWin dengan deposit minimum RM100 untuk layak menyertai. 

 

"Kami berharap pelanggan sedia ada akan terus menyimpan dengan MBSB dengan meletakkan deposit lebih tinggi, termasuk pelanggan baharu," katanya.

 

 

MBSB

 

 

Tambahnya, pihaknya menerima sebanyak 40,000 penyertaan pada tahun lepas, selain menyasarkan penyertaan dua kali ganda tahun ini.

 

Kempen SBMB 3.0 menawarkan pelbagai hadiah lumayan, antaranya Porsche Macan, Mercedes-Benz GLC 300 4MATIC, Harley Davidson Road Glide, pakej percutian, wafer emas, jam tangan berjenama Apple, wang tunai dan banyak lagi. 

 

 

mbsb

 

 

Terdapat pelbagai kategori yang ditawarkan kempen SBMB 3.0 termasuk Bulanan, Kesetiaan, Pelanggan Baharu, Akaun Gaji, Wanita, Lelaki, Senior, Kakitangan Kerajaan, Serantau dan Hadiah Utama. 


 
Pada masa sama, MBSB Bank turut menganjurkan kempen Deposit Bertempoh-i ‘CNY Combo Promo’ yang menawarkan pulangan yang kompetitif bermula dari 15 Januari 2024 hingga 29 Februari 2024. 

 

Sebarang maklumat lanjut, para pelanggan boleh mengunjungi mana-mana cawangan MBSB Bank atau layari laman web rasmi MBSB Bank di www.mbsbbank.com atau hubungi Pusat Khidmat Pelanggan di 03-20963000. - DagangNews.com