Kemudahan di lebuh raya PROLINTAS tutup sementara | DagangNews Skip to main content

Kemudahan di lebuh raya PROLINTAS tutup sementara

 

 

KUALA LUMPUR, 20 Okt. – Beberapa kemudahan di kawasan rehat dan rawat (R&R) serta hentian sebelah di lebuh raya-lebuh raya seliaan Kumpulan Syarikat PROLINTAS akan ditutup sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang bermula sejak minggu lalu.

Penutupan sementara yang akan berakhir pada Selasa, 27 Oktober ini membabitkan kemudahan pusat khidmat pelanggan dan surau di beberapa lebuh raya terpilih.

Ini termasuk Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH), Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE), Lebuhraya Kemuning-Shah Alam (LKSA) dan Lebuhraya Kajang SILK (SILK).

Menurut PROLINTAS, pengguna digalakkan memanfaatkan mesin layan diri yang ditempatkan di beberapa kawasan sepanjang lebuh raya PROLINTAS dan kemudahan e-dompet bagi memudahkan transaksi tambah nilai.

Seiring dengan usaha kerajaan untuk membendung gejala penularan wabak Covid19, gerai-gerai makanan di kawasan R&R Elmina (arah selatan) GCE kini juga beroperasi mengikut prosedur operasi standard (SOP).

Sepanjang tempoh penguatkuasaan PKPB ini, lebih dari 200 petugas PROLINTAS ditugaskan untuk bersama-sama memastikan kelancaran operasinya dalam memerangi wabak Covid19 ini. – DagangNews.com