Kemudahan pengeluaran tidak jejas prestasi pelaburan KWSP | DagangNews Skip to main content

Kemudahan pengeluaran tidak jejas prestasi pelaburan KWSP

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 7 Julai - Aset Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang mencecah hampir RM1 trilion secara dasarnya tidak memberi kesan kepada pelaburannya susulan kemudahan pengeluaran yang diumumkan kerajaan bagi mengurangkan impak ekonomi. 

 

Baru-baru ini, di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (​Pemulih), ahli KWSP dibenarkan membuat pengeluaran menerusi i-Citra sehingga RM5,000 bagi membantu beban rakyat berdepan krisis pandemik COVID-19.

 

Ini adalah kemudahan pengeluaran yang ketiga selepas i-Lestari dan i-Sinar yang diumumkan tahun lalu, dengan masing-masing mencatat pengeluaran sebanyak RM20.80 bilion dan RM50.93 bilion setakat Mei 2021.

 

Dalam taklimat prestasi ekonomi suku ketiga 2021 secara maya hari ini, Ketua Penyelidikan Kenanga Investment Bank Bhd, Koh Huat Soon berkata, bagaimanapun, kemudahan pengeluaran itu tidak memberi tekanan kepada prestasi pelaburan KWSP. 

 

Sebaliknya, beliau berkata, ia bergantung kepada sejauh mana pulangan daripada pelaburan yang dibuat dana persaraan itu yang mana KWSP mampu menguruskan portfolionya dengan baik.

 

"Jadi, dalam soal ini, tidak timbul isu sama ada pengeluaran besar-besaran ini akan menjejaskan prestasi KWSP. Malah, ia tidak mempunyai kaitan sama sekali," katanya. 

 

 

Koh Huat Soon
Koh Huat Soon

 

 

Berdasarkan kepada laporan suku tahunan Bank Negara Malaysia (BNM), beliau berkata, pada separuh kedua 2020, KWSP mengurangkan pegangan sebanyak RM20 bilion bagi pelaburan sekuriti kerajaan Malaysia (MGS) daripada RM228.7 bilion pada suku pertama 2020 kepada RM207.3 bilion pada suku keempat 2020. 

 

Huat Soon bagaimanapun, tidak menolak wujudnya kebimbangan sejauh mana tekanan aliran tunai ini akan memberi kesan kepada aliran dana pelabur institusi dalam pasaran ekuiti pada 2021 dengan melihat kepada aset KWSP yang besar. 

 

"Apatah lagi, aliran dana ekuiti antara pelabur institusi, pelabur runcit dan pelabur asing sejak awal 2020 menunjukkan pelabur institusi (bersama pelabur asing) menjual bersih ekuiti selama beberapa bulan. 

 

"Tetapi, melihat kepada peruntukan aset strategik KWSP yang lebih banyak tertumpu kepada pendapatan tetap, ia menyaksikan lebih banyak kecairan dana ini, dan turut disokong oleh kemasukan aliran masuk asing yang terus memberi hasil rendah," jelasnya.

 

Berdasarkan kelas aset, instrumen pendapatan tetap merangkumi 46% daripada pelaburan KWSP manakala ekuiti sebanyak 44%, sementara hartanah dan infrastruktur serta instrumen pasaran wang masing-masing merangkumi 4 dan 6% daripada pelaburan.

 

Portfolio ini mencerminkan strategi diversifikasi KWSP untuk memastikan pulangan optimum dalam lingkungan had risiko yang boleh diterima berpandukan Alokasi Aset Strategik (SAA), yang terbukti berdaya tahan dalam menghadapi persekitaran pasaran yang mencabar, terutama semasa krisis COVID-19.

 

Pada akhir Mac 2021, jumlah aset pelaburan KWSP adalah sebanyak RM981.71 bilion, yang mana 36% diperuntukkan dalam pasaran luar negara.

 

Diversifikasi merentasi kepelbagaian kelas aset, pasaran dan mata wang terus menjana pulangan yang stabil dan menambah nilai kepada pulangan keseluruhan KWSP.

 

Bagi suku tahun pertama, pelaburan luar negara KWSP menyumbang sebanyak RM11.15 bilion atau 58% kepada jumlah pendapatan pelaburan kasar yang direkodkan, terutama oleh ekuiti luar negara.

 

Menurut Huat Soon, KWSP sebelum ini dijangka menyaksikan aliran keluar bersih sebanyak RM44 bilion sepanjang 2021.

 

"Tetapi, kebimbangan pengeluaran besar-besaran ini sudah berakhir selepas kecairan dana ini dapat menampung jumlah pengeluaran tersebut. 

 

"Namun, dengan pengumuman i-Citra yang menyediakan pengeluaran sehingga RM30 bilion kembali meningkatkan kebimbangan berlakunya kecairan seterusnya.," jelas beliau.

 

Beliau menjangkakan pengeluaran sebanyak RM20 bilion dalam tempoh 5 bulan akan datang akan menyaksikan aliran keluar bersih sebanyak RM64 bilion daripada dana persaraan itu.

 

Huat Soon berkata, kecairan aset KWSP dalam masa sama turut memberi kesan kepada risiko peningkatan pulangan kepada FBM KLCI yang diunjur mencecah 1,575 mata menjelang akhir tahun ini.

 

"Walaupun, penyertaan KWSP adalah kurang dalam pasaran modal tahun ini, tetapi ia masih menjadi tarikan kerana pelabur asing masih menyukai Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) dan ini banyak membantu pasaran kekal stabil," tambahnya. - DagangNews.com