Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 8 Nov - Panasonic Manufacturing Malaysia Bhd. dilihat masih bergelut untuk mengekalkan prestasinya meskipun sudah beroperasi dengan kapasiti penuh pada Ogos lalu sejajar dengan pembukaan semula ekonomi secara berperingkat-peringkat.
Malah, dalam taklimat dengan pengurusan baru-baru ini, penganalisis turut mengambil langkah berhati-hati terhadap prospek kumpulan dalam tempoh terdekat.
Penganalisis Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research, Syifaa’ Mahsuri Ismail berkata, ketidaktentuan bekalan, kekangan tenaga buruh, kenaikan harga bahan mentah dan kadar Cukai Makmur yang tinggi merupakan antara faktor yang akan menjejaskan prospek Panasonic.
Katanya, kumpulan dijangka berdepan tekanan margin berikutan kenaikan harga bahan mentah seperti tembaga, aluminium dan keluli yang meningkat antara 42 hingga 70% berbanding Oktober 2020.
"Mengenai kekurangan tenaga buruh pula, kami melihat Panasonic akan menghadapi kos tambahan daripada kenaikan elaun untuk pekerja sementara dan penyumberan luar untuk mengurangkan kesan ini.
"Dengan mengambil kira faktor ini dan juga kadar Cukai Makmur yang lebih tinggi, kami mengurangkan unjuran pendapatan bagi tahun kewangan 2022/2023 sebanyak -10%/-3%," katanya dalam nota kajian hari ini.
Malah, firma itu turut mengekalkan saranan 'pegang' bagi saham Panasonic dengan harga sasaran lebih rendah pada RM30.11 berbanding sebelum ini, RM33.44.
Bagaimanapun, menurut Syifaa' Mahsuri, di sebalik ketidaktentuan yang mempengaruhi prospek Panasonic, ia dilihat mampu mengharungi cabaran tersebut terutama disokong imbangan tunai yang kukuh dengan kedudukan tunai bersih sebanyak RM517.3 juta (atau RM8.50 sesaham) setakat akhir Jun.
Pada masa sama, katanya, sebagai sebahagian daripada inisiatif alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), Panasonic sedang memperluaskan pemasangan panel solar di atas bumbung tempat letak kereta loji SA1 dan kilang pengeluaran baharu SA2.
"Kumpulan juga memperoleh Sistem Penyaman Udara dan Pengudaraan Mekanikal (ACMV) dan Kemudahan Penyaman Udara Aliran Penyejuk Berubah (VRF) untuk kecekapan tenaga yang tinggi dan persekitaran yang lebih baik di bangunan SA2," katanya. - DagangNews.com