Kenaikan harga, inflasi tidak jejas jualan Power Root | DagangNews Skip to main content

Kenaikan harga, inflasi tidak jejas jualan Power Root

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 14 Okt - Pasaran eksport Power Root Bhd. menyaksikan pemulihan yang pantas selepas pandemik COVID-19 manakala permintaan di peringkat domestik kekal kukuh di sebalik kenaikan inflasi. 

 

Ini mendorong Kenanga Research menyemak naik penarafannya kepada 'outperform' berbanding 'market perform' dengan harga sasaran juga dinaikkan kepada RM2.35 daripada RM2.10 sesaham sebelum ini.

 

Menurutnya, jumlah jualan mempamerkan prestasi yang lebih baik di Malaysia dan Asia Barat khususnya negara-negara di bawah Majlis Kerjasama Teluk (GCC). 

 

Katanya, Power Root menjangkakan jualan bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2023 (FY23) mencecah 95% daripada paras sebelum pandemik berbanding 75% pada FY22.

 

"Bagi purata campuran, kumpulan menjangkakan harga jualan purata (ASP) adalah sekitar 5% hingga 8% untuk FY23. 

 

"Ia mula menaikkan harga jualan hanya pada Januari 2022 berbanding pesaingnya yang bermula lebih awal pada Jun 2021.

 

"Meskipun harga dinaikkan, jualan bagi pasaran domestik tidak mengalami penurunan. Sebaliknya, ia menyaksikan permintaan kukuh selepas sambutan Hari Raya, Mei lalu," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Power Root menaikkan harganya secara beransur-ansur dan menjangkakan kesan penuh kenaikan keseluruhan kira-kira 10% pada FY24.

 

Bagaimanapun, harga jualan kopinya masih lagi rendah berbanding pesaing lain di sebalik berlaku kenaikan ASP.

 

Kenaikan kos input juga dikawal dengan baik dengan bekalan krimer dan biji kopi ditetapkan sehingga Mac 2023 memandangkan Power Root menjangkakan harga akan turun sebanyak 10% daripada harga semasa pada AS$1.95/lb.

 

Harga biji kopi telah meningkat sejak suku ketiga 2021 sebanyak 31% tetapi ia mendapatkan sumber daripada pelbagai pasaran terutamanya Vietnam, India (selain daripada pasaran biasa Brazil dan Colombia) bagi mengurangkan kesan harga yang tinggi di peringkat global.

 

Kenanga Research turut mendapati permintaan untuk campuran kopi dan minuman tempatan kekal kukuh di sebalik kenaikan inflasi yang tinggi seperti mana yang dilihat dalam angka suku kedua dan ketiga 2022.

 

Katanya, ini secara tidak langsung memberi ruang kepada pemain industri untuk menaikkan semula harga  sebanyak 5% sepanjang separuh pertama FY22 selepas kenaikan kira-kira 10% pada suku ketiga 2021.

 

"Kami dapati kemungkinan akan ada lagi kenaikan 5% oleh pemain pasaran menjelang akhir tahun ini. 

 

"Walaupun pasaran Asia Barat kelihatan kukuh pada masa ini, mereka mungkin semakin perlahan selepas Piala Dunia FIFA Qatar 2022 dalam tempoh dua bulan terakhir 2022," katanya.

 

Menurutnya, margin akan terus berada di bawah tekanan memandangkan input yang tidak menentu dan kenaikan inflasi tetapi kos dijangka dapat dibendung kerana harga input utamanya sudah ditetapkan sehingga Mac 2023.

 

Sehubungan itu, firma itu menaikkan unjuran hasil bagi FY23 dan FY24 masing-masing sebanyak 29% dan 11% didorong permintaan yang kukuh bagi pasaran domestik dan eksport.

 

"Pada masa sama, kumpulan turut menyaksikan pemulihan kukuh dalam pasaran eksport disokong keupayaannya untuk menyalurkan kos yang semakin meningkat kepada pengguna susulan permintaan yang berdaya tahan dan terlindung daripada turun naik dalam kos input melalui pembelian hadapan," jelasnya.

 

Setakat 11.51 pagi, harga saham Power Root menokok 6 sen atau 2.86% kepada RM2.16 dengan 905,900 saham diniagakan. - DagangNews.com