Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 21 Sept. - Dasar alam sekitar China mungkin menyebabkan kadar penggunaan loji bagi proses penghasilan arang ke olefin (CTO)/metanol ke olefin (MTO) terus menurun sepanjang tahun ini, sekali gus memberi kelebihan kepada harga polimer, monoethylene glycol (MEG) dan metanol.
Sehubungan itu, CGS-CIMB mengekalkan saranan 'overweight' ke atas sektor petrokimia, dengan Petronas Chemicals Group Bhd. (PCG) menjadi saham pilihan utama memandangkan ia tidak terkesan dengan tekanan kos naphtha.
Firma itu juga memberi saranan 'tambah' ke atas Petronas Chemicals dan Lotte Chemical Titan (LCT) dengan harga sasaran masing-masing pada RM9.50 dan RM2.92.
"Taufan Ida, yang melanda Pantai Teluk Amerika Syarikat (AS) sebagai ribut Kategori 4 pada 29 Ogos lalu, memberi kesan yang lebih rendah pada harga jualan polimer di AS dan Asia daripada yang kami harapkan.
"Sementara itu, taufan Nicholas yang melanda kawasan sama pada 14 September lalu, melemah menjadi ribut tropika dan tidak membawa kerosakan kepada loji petrokimia, menghalang berlakunya kehilangan tenaga di kawasan Matagorda (yang mana menempatkan loji polyethylene (PE) LyondellBasell)," katanya dalam nota kajian hari ini.
Bagaimanapun, penganalisis CGS-CIMB Raymond Yap dalam nota kajian itu mendapati, di sebalik harga polimer di AS yang kurang memberangsangkan, harga polimer di China meningkat 4 hingga 6% minggu lalu berikutan kekangan bekalan disebabkan kerajaan pusat melaksanakan dasar'kawalan berganda' terhadap keseluruhan penggunaan tenaga di negara tersebut.
Ini dapat dilihat apabila wilayah Shaanxi memaksa pengeluar CTO/MTO poliolefin mengurangkan kadar penggunaan loji sehingga 50% pada September memandangkan kilang berkenaan melebihi sasaran penggunaan tenaga.
IHS menjangkakan China akan kehilangan 110,000 tan pengeluaran PE sebulan, yang mana langkah kawalan ini akan kekal berterusan sehingga akhir tahun ini.
"Kami menjangkakan harga polimer, MEG dan metanol yang tinggi juga akan dirasai di rantau Asia Tenggara.
"Harga metanol di Asia Tenggara sudah meningkat 15% sejak akhir Jun, dan kami menjangkakan ia akan menunjukkan trend peningkatan secara berterusan," jelas beliau.
Menurutnya, kenaikan harga PE dan MEG akan memberi kelebihan kepada Petronas Chemical memandangkan kos etana sudah ditetapkan.
Dalam pada itu, katanya, kesan taufan terhadap harga polimer global dan kos naphtha yang tinggi memberi tekanan kepada harga sebaran polimer-naphtha dalam tempoh lebih 3 hingga 4 minggu.
"Meskipun sebaran LCT terjejas pada suku ketiga, tetapi ia boleh meningkat pada suku keempat tahun ini.
"Ini boleh dicapai dengan pelaksanaan dasar 'kawalan berganda' China dan setelah pengeluaran minyak kembali pulih di teluk AS serta pengeluaran OPEC terus meningkat," tambahnya. - DagangNews.com