Pertambahan kadar SST diunjur naikkan indeks harga pengguna sebanyak 10 mata asas pada 2024, kata CGS-CIMB | DagangNews Skip to main content

Pertambahan kadar SST diunjur naikkan indeks harga pengguna sebanyak 10 mata asas pada 2024, kata CGS-CIMB

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 23 Okt - CGS-CIMB Research menjangkakan kenaikan kadar cukai jualan dan perkhidmatan (SST) daripada 6% ke 8% seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2024 menjadikan indeks harga pengguna (CPI) meningkat 10bp (mata asas) pada tahun hadapan.

 

Berdasarkan pengiraan firma itu bahawa item yang terkesan akibat kenaikan SST membentuk 7% daripada jumlah CPI selepas mengambil kira pengecualian seperti perkhidmatan makanan dan telekomunikasi.

 

"Akibatnya, kenaikan SST hanya meningkatkan pertumbuhan CPI tahunan sebanyak 10bp. Tiada langkah konkrit diumumkan dari segi subsidi yang bersasar.

 

"Sebarang pelarasan subsidi bersasar berkemungkinan menjejaskan IHP, terutamanya pada 2024.

 

"Kami mengekalkan unjuran inflasi 2023 kami pada 2.8% pada 2023 dan 2.5% pada 2024 sementara menunggu kemas kini mengenai langkah rasionalisasi subsidi," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

BACA JUGA: Kerajaan laksana Cukai Keuntungan Modal pada kadar 10%, SST 8% mulai 1 Mac 2024

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2023 pada 4% berikutan pertumbuhan yang menggalakkan dalam anggaran awal suku ketiga tahun ini.

 

Katanya, walaupun kadar faedah dinormalisasi, aktiviti perbelanjaan kekal berdaya tahan kerana mereka percaya campur tangan kerajaan dalam harga yang ditadbir dan subsidi yang tinggi akan terus menggalakkan pertumbuhan penggunaan pada suku keempat tahun ini.

 

Pemulihan selanjutnya dalam ketibaan pelancong asing dan perjalanan domestik juga akan memacu permintaan domestik.

 

"Pada pandangan kami, potensi rangsangan besar-besaran dari China dijangka berlaku lewat 2023 yang boleh meningkatkan permintaan dunia.

 

"Eksport utama seperti elektrik & elektronik (E&E) mula menunjukkan tanda peningkatan yang boleh dipercayai," katanya. - DagangNews.com