Kenaikan kos input jejaskan MSM Malaysia, rugi RM72.8 juta pada suku ketiga | DagangNews Skip to main content

Kenaikan kos input jejaskan MSM Malaysia, rugi RM72.8 juta pada suku ketiga

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 21 Nov - MSM Malaysia Holdings Bhd. mencatat kerugian bersih berjumlah RM72.8 juta bagi suku ketiga berakhir 30 September 2022 berbanding keuntungan bersih sebanyak RM96.86 juta yang direkodkan bagi tempoh sama tahun sebelumnya. 

 

Kerugian ini disebabkan kos input yang lebih tinggi terutamanya harga gula mentah, kos pengangkutan, gas asli dan kelemahan ringgit, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini. 

 

Pendapatan bagi tempoh itu bagaimanapun meningkat kepada RM668.13 juta daripada RM548.65 juta berikutan peningkatan harga jualan purata (ASP.

 

Bagi tempoh sembilan bulan, kumpulan mencatat kerugian bersih berjumlah RM134.55 juta daripada keuntungan bersih RM141.51 juta, dengan pendapatan meningkat kepada RM1.89 bilion daripada RM1.62 bilion.

 

MSM berkata, kumpulan terus menghadapi persekitaran mencabar semasa di tengah-tengah kos input yang tinggi terutama gula mentah, pengangkutan, gas asli dan kelemahan ringgit.

 

Katanya, kos input lain seperti bahan pembungkusan, upah dan logistik juga meningkat dengan ketara.

 

"Pasaran domestik dan eksport menyaksikan permintaan lebih kukuh yang menyediakan peluang pertumbuhan dan pemulihan penggunaan produk termasuk gula merentasi segmen pengguna dan perindustrian," katanya.

 

Menurutnya, kumpulan kekal fokus dalam memenuhi permintaan dengan menambah baik operasi terutamanya tertumpu pada peningkatan MSM Johor untuk mencapai kos penapisan yang lebih rendah dengan kecekapan lebih tinggi.

 

"MSM akan memastikan bekalan gula yang konsisten disediakan untuk pasaran. Kami terus melibatkan kerajaan untuk semua sokongan ekonomi yang diperlukan dalam memastikan keselamatan makanan walaupun menghadapi cabaran," jelasya. - DagangNews.com