Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 30 Sept. - Kenanga Research menyifatkan langkah IOI Properties Group Berhad untuk membeli sebidang tanah yang terletak di Marina View, Singapura sebagai satu perkembangan agak negatif.
Mengambil kira nilai pengambilalihan tanah tersebut yang besar, kedudukan kunci kira-kira kumpulan dijangka terbeban sekali gus mendatangkan impak negatif, menurut penganalisisnya, Lum Joe Shen.
“Dengan pengambilalihan ini, penggearan bersih IOI Properties akan meningkat kepada 0.71x daripada 0.47x - agak melebar pada pandangan kami. Dalam pengambilalihan tanah terakhir mereka di Singapura - tanah Central Boulevard bernilai S$2.75 bilion pada November 2016, penggearan bersih kumpulan mencecah 0.7x dan mereka melaksanakan terbitan hak untuk mengumpul dana RM1.5 bilion.
“Namun, kami fikir kali ini mereka tidak berkemungkinan melaksanakan terbitan hak, kerana tanah Central Boulevard merupakan sepenuhnya hartanah pelaburan (pejabat) tanpa komponen yang boleh dijual, seterusnya mencetuskan lebih banyak aliran tunai yang intensif semasa peringkat pembangunan.
“Secara keseluruhannya, walaupun permintaan perumahan di Singapura sangat memberangsangkan ketika ini; namun kami agak negatif terhadap tender tanah ini kerana impaknya ke atas kunci kira-kira, kecuali komponen perumahan tanah ini boleh dijual melebihi S$2,800 untuk setiap kaki persegi,” kata Joe Shen dalam satu nota penyelidikan, hari ini.
Semalam, kumpulan mengumumkan anak syarikat milik penuhnya, Boulevard View Pte Ltd (BVPL) telah memenangi sebuah tender untuk mengambil alih sebidang tanah bernilai kira-kira RM4.68 bilion yang terletak di Marina View, Singapura.
Pengambilalihan tanah itu akan dilunaskan menerusi wang tunai yang dijangka dibiayai melalui pinjaman bank dan/atau dana dalaman.
Baca : Menang tender, IOI Properties bakal ambil alih tanah di Singapura bernilai RM4.68 bilion
Kenanga mengekalkan saranan ‘market perform’ ke atas IOI Properties dengan harga sasaran (TP) tidak berubah pada kadar RM1.32 sesaham.
Senada itu, firma penyelidikan, MIDF Research turut menjangkakan penggearan bersih IOI Properties mampu berkembang kepada 0.71x sekiranya pengambilalihan tersebut dilunaskan sepenuhnya menerusi pinjaman bank.
Namun, penganalisisnya, Jessica Low Jze Tieng berkata, MIDF menyifatkan pengambilalihan itu sebagai neutral hingga positif kerana ia dijangka dapat meningkatkan portfolio pelaburan hartanah kumpulan.
Penarafan 'neutral' ke atas saham IOI Properties dikekalkan dengan TP tidak berubah pada kadar RM1.29, kata beliau. - DagangNews.com