Kenanga Investment dinobat selaku Firma Sekuriti Terbaik Malaysia 2022 | DagangNews Skip to main content

Kenanga Investment dinobat selaku Firma Sekuriti Terbaik Malaysia 2022

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 21 Julai - Kenanga Investment Bank Berhad dinobatkan sebagai Firma Sekuriti Terbaik Malaysia 2022 pada Anugerah Firma Sekuriti Terbaik Asiamoney 2022.

 

Anugerah berprestij itu mengiktiraf kecemerlangan prestasi Kenanga Investment Bank pada tahun 2021 serta kekukuhan aliran pendapatan kumpulan serta pengakalan data yang semakin berkembang.

 

Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Chay Wai Leong berkata, sebagai jenama tempatan dengan sejarah hampir 50 tahun di negara ini, kumpulan ini telah berjaya berubah daripada broker saham yang sederhana kepada sebuah bank pelaburan serba lengkap.

 

"Kemajuan berterusan kami adalah berkat daya tahan, inovasi dan dedikasi pasukan serta keyakinan dan sokongan daripada lebih setengah juta pelabur serta peniaga Malaysia.

 

“Melangkah ke hadapan, kami akan kekal fokus untuk mengukuhkan asas perniagaan kami serta tawaran digital dan infrastruktur dalam memastikan kami dapat terus membawa penyelesaian kewangan terbaik kepada pelanggan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Kumpulan itu kekal sebagai broker saham runcit yang terbesar dengan bahagian pasaran melebihi 25% setakat 31 Mac 2022 iaitu peningkatan 3.0% berbanding suku yang sama tahun sebelumnya.

 

Menerusi usaha sama dengan Rakuten Trade, kumpulan itu berjaya memperoleh lebih 245,000 akaun dagangan sejak bermulanya kolaborasi itu. 

 

Pelanggan boleh menantikan lebih banyak produk dan ciri nilai tambah baharu yang menarik di platformnya, sekali gus membuka jalan kepada pengalaman pengguna yang lebih lancar dan optimum.

 

Pada Februari 2022, kumpulan itu telah melancarkan Kenanga Digital Investing (KDI), iaitu platform pengurusan pelaburan digital yang dipacu Kecerdasan Buatan (AI) sepenuhnya, yang dibangunkan bagi memudahkan cara rakyat Malaysia menyimpan dan melabur. 

 

Produk itu telah melepasi RM200 juta dalam aset di bawah pengurusan (AUM). - DagangNews.com