Kenanga Investment, Malacca Securities raih anugerah utama Kecemerlangan Bursa 2021 | DagangNews Skip to main content

Kenanga Investment, Malacca Securities raih anugerah utama Kecemerlangan Bursa 2021

Kenanga Investment Bank Bhd diwakili Datuk Chay Wai Leong, diiktiraf sebagai Organisasi Penyertaan Ekuiti Keseluruhan Terbaik 2021 dan Organisasi Penyertaan Ekuiti Runcit Terbaik 2021 - Bank Pelaburan.

KUALA LUMPUR 3 April - Bursa Malaysia Bhd meraikan komuniti pembrokeran dan perantaraan pasaran terbaik menerusi 52 pengiktirafan meliputi 22 kategori dalam pasaran sekuriti, derivatif dan Islam pada majlis Anugerah Kecemerlangan Bursa 2021.

 

Menurut kenyataan Bursa Malaysia, majlis yang berlangsung pada Khamis lepas itu menyaksikan Kenanga Investment Bank Bhd diiktiraf sebagai Organisasi Penyertaan Ekuiti Keseluruhan Terbaik 2021 dan Organisasi Penyertaan Ekuiti Runcit Terbaik 2021 - Bank Pelaburan.

 

Malacca Securities Sdn Bhd pula muncul sebagai Organisasi Penyertaan Ekuiti Runcit Terbaik 2021 - Bukan Bank Pelaburan, Organisasi Penyertaan Bursa Malaysia-i Keseluruhan Terbaik 2021 dan Organisasi Penyertaan Bursa Malaysia-i Runcit Terbaik.


 

bursa
Tan Sri Abdul Wahid menyampaikan anugerah kepada Malacca Securities diwakili Lim Chia Wei.
​​​​

 

bursa
Nor Asma Mohamed mewakili TA Futures menerima anugerah dari Tan Sri Abdul Wahid.

 


Pengerusi Bursa Malaysia, Tan Sri Abdul Wahid Omar ketika berucap pada majlis itu berkata pasaran saham tempatan menunjukkan daya tahan yang hebat sepanjang 2021, dengan dagangan aktif pada Nilai Dagangan Harian Purata (ADV) RM3.5 bilion.

 

Beliau berkata sebanyak 30 tawaran awam awal direkodkan tahun lepas, berbanding hanya 19 pada 2020, yang mengumpul sejumlah RM2.75 bilion dan menyumbang RM10.56 bilion kepada permodalan pasaran keseluruhan berjumlah RM1.79 trilion.

 

“Bursa Malaysia akan terus bekerjasama rapat dengan broker dan perantara pasaran kami untuk memacu lebih banyak penyertaan dalam bursa melalui inisiatif pendidikan dan pemasaran bersasar, selain untuk merangsangkan pertumbuhan seterusnya dalam pasaran modal,” katanya.


 

Tan Sri Abdul Wahid Omar
Tan Sri Abdul Wahid Omar

 


Yang turut hadir pada majlis tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Muhamad Umar Swift.

 

Abdul Wahid berkata pada 2021, pasaran derivatif merekodkan jumlah dagangan tertinggi sepanjang masa apabila mencatatkan rekod tertinggi sebanyak 18.4 juta kontrak didagangkan, melepasi paras tertinggi sebelumnya iaitu 18.2 juta kontrak yang didaftarkan pada 2020.

bursabursa

 


Bagi pasaran modal Islam pula, perolehan dagangan Bursa Suq Al-Sila meningkat 6.7 peratus kepada RM14.0 juta pada 2021 daripada RM13.1 juta pada 2020 susulan peningkatan ADV sebanyak 13.2 peratus kepada RM37.3 bilion pada 2021 daripada RM32.9 bilion pada 2020, katanya. - DagangNews.com