Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 9 April - Kenanga Investors Berhad (Kenanga Investors) selesai melaksanakan agihan pendapatan bernilai RM531.7 juta kepada kliennya bagi tahun kewangan 2020 (FY20).
Pengurus dana itu mengisytiharkan pendapatan akhir bernilai RM256.0 juta, diagihkan kepada 21 dana runcit sehingga Mac 2021, menjadi nilai tambahan kepada agihan terdahulu, iaitu RM275.7 termasuk pemindahan keluar bagi sepanjang FY20.
Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kenanga Investors, Ismitz Matthew De Alwis berkata, agihan pendapatan itu menyaksikan kadar hasil antara 8% hingga 12% bagi ekuiti dan dana seimbang, sementara dana pendapatan tetap mencatatkan purata 6% dari segi kadar hasil.
"Kami berbangga untuk mengumumkan agihan pendatan bagi pelbagai jenis dana di bawah pengurusan kami.
"Prestasi luar biasa daripada dana kami ini menunjukkan pilihan saham bawah ke atas yang unggul di kaunter permodalan kecil dan pertengahan, banyak di antaranya telah menunjukkan pertumbuhan pendapatan yang kukuh dalam beberapa tahun kebelakangan ini, termasuk 2020,” katanya dalam sebuah kenyataan hari ini.
Agihan pendapatan itu terdiri daripada keuntungan, dividend dan pendapatan dana lain di seluruh ekuiti, pendapatan tetap dan kelas aset bercampur, di mana merangkumi dana utama firma Kenanga Growth Fund dan Kenanga Syariah Growth Fund.
Walaupun Kenanga Investors menonjolkan prestasi memberangsangkan, namun firma itu cakna bahawa tahun lalu menyaksikan banyak segmen ekonomi terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
De Alwis menekankan kunci utamanya adalah untuk mengelak daripada penjualan panik di samping mengikut strategi pelaburan dan kerangka pengurusan risiko yang ketat di mana membolehkan pelabur mengenal pasti syarikat-syarikat yang berada dalam kedudukan baik pada tempoh tersebut.
“Bagi 2021, kami telah menstrukturkan pendekatan yang berpusat kepada tema pemulihan dan pertumbuhan dengan program vaksinasi yang berjalan selain minat berterusan dalam teknologi dan elektronik.
“Pada masa akan datang, kami mengenal pasti terdapat permintaan yang kian meningkat dalam industri infrastruktur IT dipacu oleh peralihan kerja dari rumah.
“Kami teruja melihat trend ini dan kekal komited untuk menerimanya dengan mengembangkan produk yang relevan dan lestari, di mana akan membolehkan pelanggan kami membina portfolio yang lebih berpelbagai,” katanya lagi.
Untuk rekod, sejak 2019, Kenanga Investors telah menyelesaikan dua langkah pengambilalihan utama untuk mengembangkan kedudukannnya dalam ruang pengurusan aset dan harta.
Setakat 28 Februari 2021, firma itu menguruskan 38 dana unit amanah, dua skim persaraan swasta, enam dana dagangan bursa, 29 dana borong dan dana-dana lain dari klien agensi kerajaan, pencen, insurans, korporat dan individu dengan jumlah aset di bawah pengurusan (AUM) bernilai RM14.7 bilion. – DagangNews.com