KUALA LUMPUR 6 Sept - Kenanga Investors Bhd. melancarkan Siri Kelestarian Kenanga: Dana ESG Kualiti Dunia dengan menyasarkan pertumbuhan modal dengan melabur dalam Dana ESG Kualiti Dunia NT yang diuruskan oleh Northern Trust Asset Management.
Dana itu menyasarkan pertumbuhan modal jangka panjang dengan melabur dalam sekuriti yang terbukti berkualiti dan mempunyai ciri ESG yang positif, serta mengecualikan sekuriti yang tidak memenuhi kriteria ESG tertentu.
Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kenanga Investors, Ismitz Matthew De Alwis berkata, dana itu merupakan salah satu kemuncak pelancaran tahun ini, dan merupakan hasil kerjasama erat dengan Northern Trust Asset Management.
Katanya, penyepaduan aspek kelestarian dan kewangan secara holistik menangkis tanggapan bahawa ‘pelaburan ESG menjejaskan prestasi’.
"Malah kajian menunjukkan pelaburan dalam ESG berkualiti tinggi dapat meningkatkan pulangan terlaras risiko, memandangkan penyatuan kualiti dan ESG boleh difahami sebagai dua dimensi yang berkongsi asas tema yang sama, iaitu kelestarian.
"Syarikat yang lestari adalah syarikat yang menghasilkan keputusan kukuh apabila diukur menggunakan ukuran kewangan tradisional serta maklumat berkaitan ESG," katanya dalam kenyataan hari ini.
Kerjasama strategik antara Kenanga Investors dan Northern Trust Asset Management telah menyemarakkan usaha pelaburan impak daripada pengurus aset dan kekayaan tempatan itu.
Dana tersebut adalah produk kedua yang dilancarkan hasil kerjasama dengan Northern Trust Asset Management selepas Siri Kelestarian Kenanga: Dana Bon Hasil Tinggi pada Mac lalu.
Selain itu, ia adalah dana ketiga dalam siri dana berpaksikan ESG yang bermula dengan pengenalan Kelestarian Kenanga: Dana Frontier pada 2021.
Siri Kelestarian Kenanga ialah satu set produk kelas multi-aset yang berteraskan kelestarian untuk memacu pertumbuhan kewangan jangka panjang untuk pelabur bagi menjana nilai sosial dan kewangan untuk masyarakat sekeliling.
Berdasarkan piawaian Indeks Dunia MSCI, dana tersebut sesuai untuk pelabur sofistikated yang ingin mencapai pertumbuhan modal melalui pendedahan merentasi ekuiti pasaran maju, mempunyai ufuk pelaburan jangka sederhana hingga panjang, dan mampu menahan turun naik sederhana hingga tinggi. Jumlah pelaburan permulaan minimum dana ini adalah RM5,000 dan AS$1,000.
Sementara itu, Ketua Asia Pasifik Northern Trust Asset Management, John McCareins berkata, ia menyasarkan syarikat-syarikat berkualiti tinggi yang merupakan peneraju ESG kerana mereka mempunyai pelepasan karbon yang agak rendah, sangat menguntungkan dan mempunyai aliran tunai kukuh.
"Dengan menilai prestasi syarikat berdasarkan kriteria ESG, ia meningkatkan lagi visi berpandangan jauh kami tentang peluang dan risiko. Analisis ini meningkatkan keupayaan kami untuk melestarikan masa hadapan portfolio dan mengembangkan modal pelanggan," katanya. - DagangNews.com