Kenanga Investors menang 7 anugerah Dana Lipper Refinitiv Malaysia 2021 | DagangNews Skip to main content

Kenanga Investors menang 7 anugerah Dana Lipper Refinitiv Malaysia 2021

.

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 20 April - Kenanga Investors Berhad (Kenanga Investors) berjaya memenangi sebanyak tujuh anugerah di Anugerah Dana Lipper Refinitiv Malaysia 2021. 

 

Anugerah yang dimenangi tersebut termasuk Anugerah Kumpulan Dana Wang Simpanan Islam Malaysia (Ekuiti) dan Anugerah Kumpulan Dana Wang Simpanan Malaysia (Aset Bercampur) terbaik secara keseluruhan.

 

Bagi Kenanga Investors, 2021 merupakan tahun keempat syarikatnya memenangi anugerah dalam kategori Kumpulan Dana Islam Malaysia (Ekuiti). 

 

Selain anugerah keseluruhan tersebut, syarikat berkenaan turut merangkul kemenangan dana individu lain termasuk Dana SyariahEXTRA Kenanga (Kenangan SyariahEXTRA Fund 'KSEF') yang menerima sejumlah empat anugerah dalam dua kategori; Dana Islam Malaysia di bawah Aset Bercampur MYR Terimbang bagi tiga Tahun dan lima tahun dan Dana Wang Simpanan Malaysia di bawah Aset Bercampur MYR Terimbang bagi tiga Tahun dan lima tahun. 

 

Dalam pada itu, Kenanga Growth Opportunities Fund (KGOF) memenangi anugerah Dana Wang Simpanan Malaysia di bawah Ekuiti Malaysia Modal Kecil dan Sederhana bagi tiga tahun.

 

Mengulas berkaitan kejayaan tersebut, Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ismitz Matthew De Alwis berkata, kejayaan tersebut disumbangkan oleh komitmen pihaknya kepada prestasi yang mampan.

 

"Pada tahun 2020, kami mengalami salah satu keadaan pasaran yang paling tidak menentu; ini menjadi bukti keupayaan kami sebagai pengurus aset dan kekayaan sehingga mampu mencapai prestasi luar biasa tahun lalu. 

 

"Tidak ragu-ragu lagi, pasukan pelaburan kami yang diketuai oleh Cik Lee Sook Yee yang merupakan pemenang CIO of the Year Malaysia 2020 yang dianugerahkan oleh Asia Asset Management’s Best of the Best Awards, telah bekerja tanpa mengenal erti penat serta sentiasa meneroka idea dan produk yang inovatif. 

 

"Falsafah yang telah lama kami dukung, iaitu pemilihan saham sedang menaik yang digandingkan dengan rangka kerja pengurusan risiko yang ketat memandu  kami untuk menempuh landskap pelaburan yang rumit," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Sehingga 31 Disember 2020, KSEF berjaya meraih pulangan sebanyak 40.29% (3 tahun), 62.78% (5 tahun), 119.79% (10 tahun). 

 

Bagi tempoh yang sama, KGOF mencatat pulangan sebanyak 50.81% (3 tahun), 63.62% (5 tahun), 156.80% (10 tahun).

 

Tambah beliau, firma pengurusan aset dan kekayaan tersebut bercadang untuk mengembangkan jangkauannya yang semakin meluas dalam pelaburan mampan. 

 

“Kami giat menyokong minat yang kian meningkat dalam pelaburan yang bertanggungjawab dari segi sosial dan pelaburan dana Islam yang menyaksikan permintaan yang memuncak dalam tempoh pascapandemik. 

 

"Dunia pelaburan akan menjadi komponen penting ke arah penyediaan nilai jangka panjang kepada pihak berkepentingan dalaman dan luaran kami memandangkan penunjuknya menawarkan cerapan tambahan bagi menilai kelanjutan syarikat melebihi prestasi kewangan tradisional," ujar beliau. - DagangNews.com