Kenanga ‘jejak kaki’ dalam kripto, beli 19% ekuiti Tokenize | DagangNews Skip to main content

Kenanga ‘jejak kaki’ dalam kripto, beli 19% ekuiti Tokenize

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 8 Feb. - Sebagai usaha mempercepatkan agenda digitalnya, Kenanga Investment Bank Berhad menerusi anak syarikatnya, Kenanga Private Equity Sdn Bhd membeli 19% kepentingan ekuiti dalam Tokenize Technology (M) Sdn. Bhd. (Tokenize Malaysia).

 

Beroperasi di bawah jenama Tokenize Xchange, syarikat mata wang kripto itu merupakan salah satu pertukaran aset digital (DAX) yang dibenarkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC). 

 

Pengarah Urusan Kumpulan Kenanga Investment, Datuk Chay Wai Leong berkata, kemunculan aset digital termasuk mata wang kripto semakin diterima oleh global dalam beberapa tahun lalu. 

 

“Walaupun kami berminat dengan kripto sebagai kelas aset, kami menyedari turun naik dan percambahan pemain yang tidak terkawal dalam pasaran.

 

“Oleh itu, kami berbesar hati diberikan peluang untuk melabur dalam satu daripada tiga pertukaran aset digital berlesen di Malaysia. 

 

“Kami memuji SC sebagai yang pertama di Asia untuk memperkenalkan kawal selia dalam bidang ini,” katanya dalam sebuah kenyataan hari ini. 

 

Tokenize Xchange merupakan DAX kedua terbesar di Malaysia mengikut syer dagangan pasaran. 

 

Pertukaran itu membenarkan dagangan mata wang kripto seperti Bitcoin, Ethereum dan beroperasi 24 jam.

 

Tambah Wai Leong, minat firmanya dalam aset digital melebihi daripada Bitcoin dan mata wang kripto yang sering didagangkan. 

 

“Kami percaya bahawa teknologi di sebalik aset digital sangat berkuasa dan kemunculan aset digital pada masa hadapan tidak boleh dinafikan. 

 

“Kami berharap kutipan dana menerusi tokenisasi perniagaan dan aset akan menjadi bahagian penting pasaran modal pada masa hadapan untuk Malaysia,” ujarnya lanjut. 

 

Dalam kenyataan sama, Pengasas Tokenize Xchange, Hong Qi Yu berbesar hati untuk menerima Kenanga Investment sebagai pelabur utama. 

 

“Gabungan capaian, kepakaran dan sumber merupakan anjakan paradigma dan akan membolehkan kami memperluas jaringan di Malaysia,” jelasnya. 

 

Setakat ini, modal pasaran kripto bernilai AS$1.007 trilion, melonjak tiga kali ganda sejak empat bulan lalu.

 

Melihatkan permodalan pasaran ekuiti global yang dianggarkan bernilai hampir ratusan trilion, masih banyak ruang untuk kenaikan pasaran kripto. - DagangNews.com