Kenanga kekal saranan 'overweight' terhadap sektor automotif selepas melihat keputusan positif pada suku pertama tahun ini | DagangNews Skip to main content

Kenanga kekal saranan 'overweight' terhadap sektor automotif selepas melihat keputusan positif pada suku pertama tahun ini

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 9 Jun - Kenanga Research mengekalkan saranan 'overweight' terhadap sektor automotif, selepas melihat pendapatan yang lebih baik dalam tempoh suku pertama 2023.

 

Prestasi kewangan suku pertama yang lebih baik didorong oleh jualan yang lebih tinggi bagi model baharu, peningkatan penghantaran daripada peningkatan dalam pengeluaran, dan margin yang lebih baik di tengah-tengah kos input yang lebih rendah.

 

Pilihan utama firma itu adalah MBM Resources Berhad (MBMR) dengan saranan 'outperform' pada harga sasaran (TP) RM4.60 sesaham termasuk Bermaz Auto Berhad (BAuto) (outperform; TP: RM2.90). 

 

Firma itu mengekalkan unjuran jumlah keseluruhan industry (TIV) sebanyak 720,000 unit pada tahun ini.

 

Firma itu berkata, pendapatan BAuto dan DRB-Hicom Berhad pada suku pertama melebihi jangkaan, manakala prestasi MBMR, UMW Holdings Berhad, dan Tan Chong Motor Holdings Berhad adalah dalam unjuran. 

 

Sementara itu, Sime Darby Berhad melalui Sime Darby Motors, melaporkan keputusan yang di bawah jangkaan.

 

Secara keseluruhan, ia adalah lebih baik daripada pendapatan untuk suku keempat 2022 dengan separuh daripada syarikat (BAuto, DRB-Hicom dan Sime Darby) menunjukkan prestasi dalam jangkaan.

 

Firma itu berkata, BAuto menunjukkan permintaan kukuh untuk kenderaan Mazda, Peugeot dan Kia baharunya, manakala DRB-Hicom mendapat manfaat daripada jualan Honda HR-V.

 

“Pengeluaran baharu Honda WR-V baharu yang akan datang akan mengisi kekosongan dalam penawaran Honda bagi kenderaan utiliti kecil menjelang suku ketiga tahun ini," katanya dalam satu  nota kajian, hari ini.

 

Firma itu mengekalkan unjuran TIV untuk 2023 berikutan keyakinan pengguna yang kukuh disokong oleh ekonomi yang stabil dan pasaran pekerjaan yang sihat, diikuti oleh model baharu yang menarik.

 

Firma itu juga optimis mengenai kemampuan kenderaan bermotor, disokong oleh harga kereta baharu yang stabil daripada penangguhan peraturan duti eksais baharu dan kos sewa beli yang lebih murah.

 

“Unjuran kami adalah kira-kira 11% lebih tinggi daripada 650,000 unit yang diunjurkan oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA)," katanya. - DagangNews.com