Kenanga naikkan unjuran pengangguran 2021, 4.3% | DagangNews Skip to main content

Kenanga naikkan unjuran pengangguran 2021, 4.3%

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 9 April - Kenanga Research menyemak naik unjuran kadar pengangguran pada tahun ini kepada 4.3% daripada ramalan awal 4.0%.

 

Unjuran itu dua mata peratusan lebih rendah daripada kadar pengangguran yang direkodkan pada tahun lalu, iaitu 4.5%. 

 

Firma penyelidikan itu memberi amaran bahawa risiko penurunan masih ada, yang berpotensi mempengaruhi sentimen perniagaan atau syarikat di negara ini. 

 

“Walaupun pasaran buruh domestik menunjukkan tanda-tanda pemulihan, namun risiko penurunan tetap ada memandangkan ketakutan terhadap gelombang baharu jangkitan COVID-19 mempengaruhi sentimen perniagaan dan pengguna pada masa akan datang.

 

“Namun, kelonggaran terhadap sekatan pergerakan ekoran lebih banyak aktiviti ekonomi dibenarkan beroperasi semula serta pelbagai dasar sokongan yang berterusan dan perkembangan vaksinasi, dijangka mengehadkan impak negatif pandemik itu,” jelas Kenanga dalam nota kajiannya. 

 

Semalam, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mendedahkan kadar pengangguran kembali menyusut kepada 4.8% pada Februari 2021 berbanding bulan sebelumnya.

 

Namun, kadar pengangguran belia berumur 15 hingga 24 tahun meningkat 0.4% pada bulan tersebut kepada 13.9% berbanding Januari lalu.

 

Sementara itu, UOB Research melihat, walaupun terdapat lanjutan sekatan pergerakan dan rentas negeri, data pengangguran pada Januari hingga Februari menunjukkan pasaran buruh negara menuju ke arah kestabilan.

 

Jelas firma penyelidikan itu, faktor-faktor yang menyokongnya termasuk aktiviti ekonomi yang bermula pada Mac, penarikan semula kadar had 30% pekerja di pejabat bermula 1 April serta sokongan fiskal berterusan. 

 

“Kami mengunjurkan kadar pengangguran yang lebih rendah kepada 4.0% menjelang penghujung 2021,” jelas UOB Research. 

 

Kedua-dua unjuran oleh Kenanga dan UOB sejajar dengan julat ramalan kadar pengangguran oleh Bank Negara Malaysia (BNM), iaitu antara 4.0% hingga 5.0%. - DagangNews.com