Kenanga Research kekal penarafan 'outperform' terhadap sektor teknologi selepas jualan semikonduktor bertambah baik | DagangNews Skip to main content

Kenanga Research kekal penarafan 'outperform' terhadap sektor teknologi selepas jualan semikonduktor bertambah baik

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 3 Julai - Kenanga Research mengekalkan penarafan 'overweight' terhadap sektor teknologi selepas jualan semikonduktor dalam tempoh enam bulan (November 2023 hingga April 2024) dalam kalangan pemain industri Malaysia mula menunjukkan perkembangan positif.

 

Katanya, syarikat teknologi memberi gambaran untuk meningkatkan keterlihatan pesanan pada suku akan datang dan ia selaras dengan pandangan firma itu terhadap pemulihan pada separuh kedua tahun ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, Perangkaan Perdagangan Semikonduktor Dunia (WSTS) pada Jun 2024 menaikkan unjuran untuk jualan semikonduktor global kepada 16% berbanding 13% pada November 2023 dipacu jangkaan pemulihan lebih kukuh dalam segmen memori. 

 

Mereka merasakan keyakinan dalam kalangan pemain industri Malaysia disokong pemulihan dalam sektor semikonduktor yang bermula awal tahun ini yang memberi kesan kepada rantaian nilai.

 

"Pilihan utama kami ialah Inari Amertron Bhd (outperform; TP: RM4.60) berdasarkan peningkatan kehadirannya alam pasaran telefon pintar China dan ruang kecerdasan buatan (AI) dan Kelington Group Bhd (outperform; TP: RM4.10) bagi keterliharan pendapatannya yang disokong buku pesanan sebanyak RM1.3 bilion. 

 

"Selain itu, LGMS Bhd (outperform; TP: RM1.90) juga menjadi pilihan utama berdasarkan permintaan yang lebih tinggi untuk perkhidmatan keselamatan siber daripada syarikat tempatan berikutan penggubalan Rang Undang-undang Keselamatan Siber 2024,” katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Kenanga Research berkata, pengeluar semikonduktor automotif masih giat menjalankan usaha pembetulan inventori sejak beberapa suku lalu.

 

Katanya, antara cabaran mereka ialah pasaran kenderaan elektik (EV) global yang perlahan kerana bakal pembeli EV kebanyakannya terdiri daripada pemilik kereta tunggal yang memberi banyak pertimbangan kepada julat yang boleh dilalui kereta dengan cas penuh, berbanding pemilik kereta yang pelbagai.

 

Firma penyelidikan itu berkata, prospek bercampur mempengaruhi pendirian mereka terhadap syarikat semikonduktor automotif seperti D&O Green Technologies Bhd (market perform; TP: RM3.60), yang penilaiannya kekal tinggi, manakala JHM Consolidation Bhd (market perform; TP: 61 sen) masih belum melihat kemajuan yang ketara kerana kebanyakan projeknya yang masih dalam peringkat inkubasi.

 

"Sementara itu, kami juga memantau perkembangan KESM Industries Bhd (market perform; TP RM7.04) yang merupakan pembekal perkhidmatan ujian dan pembakaran semikonduktor automotif yang telah melabur secara strategik RM143 juta bagi merombak semua peralatannya dengan jangkaan untuk menangkap cip automotif generasi baharu dalam kitaran akan datang,” katanya. - DagangNews.com