Kenanga Research kekal saranan 'outperform' terhadap Kerjaya Prospek selepas raih kontrak bernilai RM33.2 juta | DagangNews Skip to main content

Kenanga Research kekal saranan 'outperform' terhadap Kerjaya Prospek selepas raih kontrak bernilai RM33.2 juta

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 2 April - Kenanga Research mengekalkan saranan 'outperform' terhadap Kerjaya Prospek didorong kejayaan memperoleh kontrak baharu bernilai RM33.2 juta di Pulau Pinang. 

 

Katanya, kontrak yang diberikan oleh Persada Mentari Sdn Bhd itu melibatkan kerja-kerja tanah bagi pembinaan apatment servis di Pulau Andaman.

 

"Kami positif dengan kontrak kelima pada FY24 itu kerana kejayaan terbaharu itu meningkatkan jumlah pekerjaan kepada RM411 juta (berbanding andaian setahun penuh kami sebanyak RM1.5 bilion) dan buku pesanan tertunggak kepada RM4.7 bilion.

 

"Sementara itu, buku tender kumpulan itu berjumlah antara RM2 bilion hingga RM3 bilion dengan sebahagian besarnya terdiri daripada kerja-kerja pembinaan.

 

"Kumpulan itu juga sedang mengintai antara dua hingga tiga projek berkaitan industri dengan nilai keseluruhan RM1 bilion," katanya dalam satu nota kajian, hari ini. 

 

ARTIKEL BERKAITAN: Kerjaya Prospek raih kontrak RM33.2 juta, pemasangan cerucuk apartmen 49 tingkat di P. Pinang

 

Firma penyelidikan itu menyukai Kerjaya Prospek kerana menggunakan kaedah pembinaan inovatif yang menawarkan margin tinggi selain pasukan pengurusan yang praktikal dengan rekod prestasi yang cemerlang.

 

Katanya, keterlihatan pendapatannya yang kukuh disokong oleh buku pesanan tertunggak yang besar serta pesanan berulang daripada syarikat berkaitan seperti Eastern & Oriental Bhd dan Kerjaya Prospek Property Bhd.

 

"Bagaimanapun, kumpulan itu berdepan beberapa risiko termasuk kemerosotan prospek untuk kerja-kerja pembinaan, peningkatan kos input dan ganti rugi pasti (LAD) kesan daripada kelewatan serta lebihan kos," katanya.

 

Kenanga Research mengekalkan saranan 'outperform' dengan harga sasaran RM1.90 sesaham. - DagangNews.com