Kenanga Research optimis prospek Dayang lebih baik pada 2023 didorong penambahan kontrak kerja | DagangNews Skip to main content

Kenanga Research optimis prospek Dayang lebih baik pada 2023 didorong penambahan kontrak kerja

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 21 Nov - Kenanga Research mengekalkan pandangan 'outperform' terhadap Dayang Enterprise Holdings Bhd. dengan harga sasaran dinaikkan kepada RM1.70 daripada RM1.30 sesaham sebelum ini selepas kumpulan merekodkan prestasi yang memberangsangkan bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2022.

 

Penyedia perkhidmatan minyak dan gas yang berpangkalan di Sarawak itu kembali mencatat keuntungan bagi tempoh itu dipacu terutamanya permintaan untuk pesanan kerja bagi penyelenggaraan bahagian atas (TMS) luar pesisir, manakala penggunaan kapal sewaan marinnya juga meningkat sehingga 57%, berbanding 46% tahun lalu. 

 

Ini menyaksikan Dayang merekodkan keuntungan bersih teras sebanyak RM111 juta bagi tempoh itu, sekali gus melepasi jangkaan firma bagi unjuran tahun kewangan penuh sebanyak 28% dan konsensus sebanyak 20%.

 

Firma itu menjangkakan keseluruhan prospek bagi 2023 semakin baik berbanding tahun ini berikutan penambahan kontrak kerja dan kemungkinan semakan semula kadar sewaan, manakala aktiviti dijangka terus meningkat.

 

Namun, katanya, hasil kumpulan dijangka lemah pada dua suku akan datang disebabkan musim tengkujuh.

 

"Prospek Dayang juga disokong nilai kontrak semasa berjumlah RM1.6 bilion, yang akan memberi pendapatan kepada kumpulan selama dua tahun.

 

"Oleh itu, kami menaikkan unjuran hasil bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22) dan FY23 masing-masing sebanyak 36% dan 28%, dengan mengambil kira kontrak kukuh daripada TMS luar pesisir dan kadar penggunaan kapal bagi sewaan marin," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Baca : Keuntungan bersih 3Q Dayang Enterprise melonjak didorong pertambahan kontrak daripada syarikat minyak

 

Keuntungan bersih suku ketiga Dayang melonjak 178.67% kepada RM52.9 juta, daripada RM18.98 juta setahun sebelumnya, didorong terutamanya oleh peningkatan pesanan kerja dan kontrak daripada syarikat minyak.

 

Turut menyumbang kepada lonjakan pendapatan ialah kadar penggunaan kapal yang lebih tinggi, dan tuntutan insurans RM7.4 juta diterima bagi insiden yang melibatkan Dayang Topaz pada 2020.

 

Secara keseluruhan, Kenanga Research menyukai saham syarikat ini memandangkan ia merupakan penerima manfaat daripada peningkatan permintaan bagi kerja-kerja penyelenggaraan luar pesisir dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

 

"Kumpulan juga merupakan peneraju pasaran dalam ruang penyelenggaraan luar pesisir dengan bahagian pasaran tertinggi berbanding pesaing lain dengan kedudukan kunci kira-kiranya yang kukuh, dijangka bertukar menjadi kedudukan tunai bersih dalam tempoh satu hingga dua tahun akan datang," jelasnya. - DagangNews.com