Kenanga Research optimis Velesto mampu pulih lebih cepat dengan kembali catat untung pada FY23 | DagangNews Skip to main content

Kenanga Research optimis Velesto mampu pulih lebih cepat dengan kembali catat untung pada FY23

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 14 Sept - Velesto Energy Bhd. dijangka mencatat prestasi yang lebih baik pada separuh kedua ini dengan semakan kadar sewaan harian bagi pelantar jack-up akan terus meningkat sehingga 2023.

 

Kenanga Research mendapati pasaran pelantar jack-up semakin berkembang di Asia Tenggara dan Malaysia dengan kadar penggunaan masing-masing mencecah sehingga 91% dan 100%. 

 

Firma itu percaya perkembangan positif itu akan menawarkan peningkatan yang lebih tinggi kepada kadar penggunaan dan sewaan semasa pelantar Velesto.

 

"Sehubungan itu, kami mengurangkan anggaran kerugian Velesto bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22) sebanyak 20% dan dijangka kembali mencatat keuntungan sebanyak RM87 juta pada FY23 (berbanding anggaran kerugian RM49 juta). 

 

"Semakan ini dibuat selepas kami meningkatkan unjuran kadar sewaan dan penggunaan pelantar. Unjuran semasa kami berdasarkan kepada anggaran penggunaan pelantar antara 60% hingga 80% dengan kadar sewaan harian AS$75,000 hingga As$85,000," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Penggunaan pelantar jack-up global telah menyaksikan pemulihan mendadak pada tahun ini berikutan kenaikan harga minyak mentah ketika dunia beralih ke era pasca pandemik.

 

Walaupun permintaan untuk pelantar telah merosot sedikit sejak dua tahun lalu disebabkan penularan wabak COVID-19, tetapi pasaran kini menunjukkan tanda-tanda pemulihan yang kukuh.

 

Sejajar dengan pasaran global yang semakin ketat, pelantar jack-up di Asia Tenggara telah mencapai tahap penggunaan pasaran yang tinggi iaitu 91%, dengan kadar sewaan meningkat setinggi AS$120,000 sehari.

 

Di Malaysia pula, pelantar jack-up telah pun mencapai penggunaan 100% iaitu semua pelantar yang sedia ada di perairan Malaysia sudah tidak tersedia untuk tender baharu, dengan kadar naik setinggi AS$88,000 sehari (berbanding purata semasa Velesto sebanyak AS$75,000 sehari).

 

Melihat kepada prospek positif ini, Kenanga Research menaikkan penarafan Velesto kepada 'outperform' daripada 'underperform' dengan harga sasaran lebih tinggi pada 16 sen berbanding 8 sen sesaham sebelum ini.

 

"Memandangkan prospek syarikat dijangka kembali kepada keuntungan, kami menukar metodologi penilaian kepada 15 kali nisbah harga kepada pendapatan (PER) (daripada 0.3 kali PBV sebelum ini) – selaras dengan penilaian Dayang Enterprise Holdings Bhd., pembekal peralatan dan perkhidmatan minyak dan gas tempatan dalam liputan kami," jelasnya.

 

Bagaimanapun, risiko kepada penarafan itu bergantung kepada penurunan harga minyak dengan ketara sehingga menjejaskan aktiviti minyak dan gas (O&G), peningkatan kos operasi dan risiko dalam pelaksanaan projek.

 

Setakat 9.54 pagi ini, harga saham Velesto susut 1 sen atau 8.7% kepada 10.5 sen dengan 177.86 juta saham diniagakan. - DagangNews.com